Dari hadis riwayat Bukhari & Muslim :
1. Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah b’kata : “Pahala tutur kata yang baik sama seperti bersedekah. “
2. Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata : “Individu yang yakin kepada Allah dan Hari Akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja”.3. Abu Musa Asy’ari melaporkan, katanya, “Saya pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, Siapakah orang Islam yang paling baik?”
Jawab Rasulullah, “Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah & tangannya.”
4. Abu Hurairah melaporkan, dia pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, “Hamba yang mengucapkan kata-kata tanpa berfikir baik buruknya boleh menyebabkan dia tergelincir ke arah neraka lebih jauh dari jarak antara timur & barat.5. Dari Abu Hurairah juga, Nabi Muhammad pernah berkata, “Hamba Allah yang mengucapkan kata-kata yang diredhai Allah tanpa menghayati kata-katanya itu, Allah mengangkat kedudukannya pada beberapa darjat sebab kata-kata itu. Hamba Allah yang mengucapkan kata-kata yang dibenci Allah tanpa menghayati kata-katanya itu, dia akan jatuh ke dalam neraka sebab kata-kata itu.”
Daripada Hadis Riwayat Tirmizi :
1.Sufyan bin Abdullah melaporkan, katanya, “Saya pernah berkata, “Wahai utusan Allah! Beritahulah kepada saya perkara yang dapat dijadikan pegangan.”
Rasulullah menjawab, “Saudara katakanlah, ‘Allah Tuhan saya’, kemudian tetaplah mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.”
Saya bertanya lagi, “Wahai utusan Allah! Apakah perkara yang paling tuan bimbangkan tentang diri saya?”
Rasulullah memegang lidah beliau, kemudian berkata, “Ini.”
2. Abdullah bin Umar melaporkan, katanya, “Rasulullah pernah berkata, “Saudara semua jangan banyak bercakap melainkan bagi mengingati Allah. Sebab banyak bercakap tanpa ingat kepada Allah dapat mengeraskan hati. Manusia yang paling jauh daripada Allah adalah pemilik hati yang keras.”
3. Uqbah bin Amir melaporkan, katanya, “Saya pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, Apakah yang menyebabkan saya selamat?”
Jawab Rasulullah, “Tahanlah lidah saudara daripada banyak bercakap, selalulah beribadat & tangisilah dosa saudara.”
4. Muaz bin Jabal melaporkan, katanya, “Saya berkata, “Wahai utusan Allah, Beritahulah kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga & menjauhkan saya daripada api neraka.”
Jawab Rasulullah, “Saudara bertanya tentang perkara yang penting, tetapi amalan itu amat mudah bagi orang yang dipermudahkan Allah melakukannya. Amalan itu adalah menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan apa pun. Mengerjakan sembahyang, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Mekah.”
Kemudian baginda berkata lagi, “Adakah saudara suka saya tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai daripada api neraka, sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api, dan sembahyang seorang hamba pada satu pertiga terakhir malam.”
Kemudian baginda membaca ayat 16 dan 17 daripada surah as-Sajadah yang bermaksud,
“Mereka menjauhkan diri dari tempat tidur, (tidur yang sedikit kerana mengerjakan sembahyang tahajud & amalan baik); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (kemurkaanNya) serta perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka. Oleh itu, tiada individu yang mengetahui perkara yang dirahsiakan bagi mereka (segala jenis nikmat) yang indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal kebaikan yang mereka kerjakan.”
Selepas itu baginda bertanya, “Adakah saudara suka saya beritahu asas bagi semua perkara itu, tiang & titik kemuncaknya?”
Saya menjawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.”
Rasulullah pun berkata, “Asas bagi semua perkara adalah Islam, tiangnya adalah sembahyang dan titik kemuncaknya adalah jihad.”
Kemudian baginda bertanya lagi, “Adakah saudara suka saya beritahu kunci bagi semua perkara itu?
Saya menjawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.”
Baginda memegang lidahnya, lalu berkata, “Saudara jagalah ini.”
Saya bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah kita dituntut bagi segala perkara yang kita ucapkan?
Jawab Rasulullah, “Aduh saudara! Bukankah manusia disembamkan mukanya ke dalam neraka hanya sebab lidah mereka?”
No comments:
Post a Comment