Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Cabaran terhadap akidah Islam masa kini adalah pelbagai. Kewujudan pelbagai ajaran sesat dan amalan bidaah dalam masyarakat Islam masa kini bukan sahaja boleh mencemari kewibawaan mereka malah merupakan faktor kehakisan akidah Islam yang tulen.
Amalan yang dilakukan oleh masyarakat primitif seperti ilmu sihir semakin hari kian menular dalam corak kehidupan masyarakat Islam di negara ini.
Sihir merupakan salah satu kegiatan yang diamalkan oleh masyarakat primitif atau jahiliah. Mereka menjadikan amalan sihir sebagai salah satu cara atau kegiatan ritual dengan tujuan untuk mendapat perlindungan, mengekalkan kuasa, membunuh atau menyiksa individu yang dimusuhi secara tidak disedari.
Kegiatan sihir merupakan amalan syaitan yang ingin menyesat dan menghancurkan manusia. Di dalam Surah al-Baqarah ayat 102, Allah menjelaskan bagaimana ilmu sihir diajar oleh syaitan yang bernama Harut dan Marut kepada manusia ketika zaman pemerintahan Nabi Sulaiman di Babylon.
Mereka memperakui diri mereka sebagai malaikat yang mengajar ilmu sihir dengan tujuan untuk menyesatkan manusia. Setelah mereka mengajar manusia tentang ilmu sihir mereka berkata, “Sesungguhnya kami hanyalah cubaan bagi kamu, oleh itu janganlah kamu kafir”.
Manusia yang mempelajari ilmu sihir yang diberikan oleh Harut dan Marut boleh menceraikan suami isteri. Allah mengutuk ahli-ahli sihir dengan mengatakan bahawa mereka tidak dapat memberi sebarang mudarat kepada individu tertentu dengan menggunakan ilmu sihir kecuali dengan izin Allah.
Allah menegaskan bahawa orang yang mengamalkan ilmu sihir tidak akan dapat sebarang keuntungan di hari akhirat dan perbuatan mereka adalah termasuk dalam kategori syirik dan mungkar.
Individu Islam yang mengamalkan ilmu sihir adalah terdiri daripada orang yang lemah dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup di dunia ini atau ingin mendapat sesuatu dengan mudah tanpa berusaha keras. Individu begini boleh dianggap sebagai virus dalam masyarakat Islam kerana kegiatan mereka boleh menghakis ketulenan akidah Islam.
Kegiatan ilmu sihir semakin menular dalam kehidupan masyarakat Islam dalam negara ini. Amalan sihir bukan sahaja dilakukan oleh mereka yang jahil dalam ajaran Islam malah ia juga menjadi amalan kepada mereka yang berpendidikan dan berpangkat.
Berdasarkan kepada suasana begini maka peranan bomoh sebagai pelindung atau penentu kepada kejayaan individu untuk mencapai hasrat dan keinginan naluri menjadi semakin penting dalam kehidupan sebahagian masyarakat Islam masa kini.
Amalan sihir yang diamalkan oleh individu Islam masa kini bukan hanya sekadar memakai tangkal atau membaca mentara atau mengungkapkan perkataan-perkataan yang berunsur syirik atau pemujaan malah ia juga sudah sampai ke tahap memuja dan mempercayai kuasa patung dalam melindungi dan menunaikan hajat dan keinginan kehidupan di dunia.
Kegiatan begini adalah menyamai amalan masyarakat jahiliah sebelum Islam yang menyembah berhala Uzza dan Manat yang dianggap sebagai perantaraan manusia dengan Tuhan.
Dalam arus tamadun dunia yang berunsurkan teknologi canggih, penggunaan akal atau rasional yang tinggi untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan maka umat Islam masih lagi melangkah ke arah kehidupan masyarakat primitif dengan amalan sihir yang melalaikan dan berunsur fantasi.
Umat Islam yang mempercayai Ketauhidan Allah sepatutnya menjauhkan diri daripada amalan sihir kerana perbuatan tersebut adalah sama dengan mensyirikkan Allah. Mengamalkan ilmu sihir dalam apa jua bentuk dan kegiatan adalah terdiri daripada golongan yang tergelincir daripada akidah Islam.
Oleh itu setiap ibadah dan amalan kebajikan mereka menjadi sia-sia sahaja yang mana diibaratkan oleh Allah sebagai debu-debu yang diterbangkan oleh angin yang kencang.
Islam mengajar umatnya supaya menjadi manusia yang berpijak di bumi yang nyata bukan dalam alam fantasi sehingga sanggup menyembah makhluk yang lain demi untuk mendapat sesuatu berbentuk duniawi.
Setiap individu Islam yang mempercayai Ketauhidan Allah tidak akan tunduk kepada makhluk Allah dengan tujuan untuk mendapat sesuatu dalam kehidupan mereka.
Keselamatan diri dan punca rezeki adalah penentuan daripada Allah Yang Maha Esa bukan hasil daripada ramalan ahli-ahli nujum atau bomoh yang menggunakan kekuatan jin atau syaitan.
Allah menjelaskan kepada umat Islam di dalam al-Quran bahwa ilmu sihir dan ramalan ahli-ahli nujum itu adalah najis hasil daripada amalan syaitan.
Umat Islam sepatutnya menyembah dan menyerahkan diri kepada Allah bukan kepada jin dan syaitan kerana mereka juga merupakan makhluk yang lemah seperti manusia. Individu Islam yang masih lagi mengamalkan ilmu sihir dan menggunakan bomoh sebagai pelindung diri sepatutnya bertaubat kerana kuasa Allah sahaja yang dapat melindungi diri dan memberi rezeki serta pangkat kepada manusia.
No comments:
Post a Comment