Friday, December 17, 2010

Apa ertinya saya menganut Agama Islam. (Tafsir fi zilalil Qur'an : Al-Baqarah 208 & 209)


(Pentafsiran ayat-ayat 208 - 209)


Di bawah bayangan dua lukisan yang menggambarkan contoh nifaq yang jahat dan contoh iman yang bersih ini, ayat-ayat yang berikut menyeru kaum Muslimin dengan sifat iman, iaitu sifat mereka yang dikenali umum supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, dan supaya berwaspada dari mengikut jejak syaitan serta mengingatkan mereka dari tergelincir setelah mereka mendapat penerangan yang jelas:


208. “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa kamu dan janganlah kamu menurut jejak syaitan-syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata.”


209. “Oleh itu jika kamu tergelincir juga setelah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Itulah seruan kepada orang-orang Mu’min dengan nama keimanan iaitu seruan dengan sifat yang disukai mereka dan membezakan mereka, sifat yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka agar seluruh mereka masuk ke dalam kedamaian.

Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang Mu’min menyerah seluruh jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah. Mereka hendaklah menyerah secara mutlak kepada Allah tanpa meninggalkan sesuatu yang sumbang sama ada berupa fikiran atan perasaan, niat atau tindakan, kegemaran atau ketakutan yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak redha dengan ketetapan dan keputusan-Nya. Mereka hendaklah memberi keta’atan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri mereka kepada qudrat Ilahi yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk, dan dengan keyakinan bahawa mereka sedang menuju ke jalan dan kesudahan yang baik dunia dan Akhirat.

Penujuan da’wah yang seperti ini kepada orang-orang yang beriman itu membayangkan bahawa di sana ada orang-orang yang masih teragak- agak untuk memberi ketaatan dan kepatuhan yang mutlak kepada Allah sama ada di dalam sulit atau di dalam terang. Wujudnya orang-orang yang seumpama ini di dalam masyarakat Islam di samping golongan orang-orang yang penuh yakin dan redha itu memanglah suatu perkara yang biasa. Da’wah ini adalah ditujukan setiap masa kepada orang-orang yang beriman supaya mereka sentiasa ikhlas kepada Allah, dan supaya aliran fikiran dan perasaan mereka ini selaras dengan kehendak Allah terhadap mereka dan selaras dengan matlamat yang dipimpin oleh nabi dan agama mereka tanpa digugatkan oleh sebarang keraguan dan keteragakan.

Apabila seseorang Islam menyambut da’wah itu dengan sambutan yang seperti itu bererti ia memasuki sebuah alam yang seluruhnya diselubungi kedamaian dan keamanan, sebuah alam yang seluruhnya dipenuhi kepercayaan dan keyakinan, kerelaan dan kemantapan, di mana tidak terdapat lagi sebarang kerunsingan dan kegelisahan, sebarang kedurhakaan dan kesesatan, iaitu kedamaian dengan jiwa dan hati nurani sendiri, kedamaian dengan akal dan logik, kedamaian dengan manusia dan makhluk-makhluk yang hidup, kedamaian dengan seluruh alam buana dan seluruh yang maujud, kedamaian dan keimanan yang menerangi liku-liku hati nurani, kedamaian dan keamanan yang memayungi kehidupan dan masyarakat, kedamaian dan keamanan di bumi dan di langit.

Kesan pertama yang dilimpahkan oleh kedamaian ini di dalam hati ialah kesahihan kefahaman dan kepercayaannya terhadap Allah, juga kejelasan dan kemudahan kefahaman dan kepercayaan itu sendiri bahawa Allah Tuhan Yang Maha Esa dan setiap Muslim hanya bertawajjuh kepada- Nya sahaja dengan hati yang teguh dan yakin. Hatinya bulat kepada Allah tanpa dikelirukan oleh berbagai-bagai kepercayaan yang lain. Ia tidak diburu oleh berbagai-bagai tuhan di sana sini seperti di dalam kepercayaan- kepercayaan paganisme dan jahiliyah. Ia hanya bertuhan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dan hanya kepada Allah ia membulatkan hatinya dengan penuh keyakinan, ketenteraman, terang dan jelas.

Allah Maha Kuat, Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Gagah. Setiap Muslim yang bertawajjuh kepada Allah bererti ia bertawajjuh kepada kekuatan dan kuasa yang haqiqi dan tunggal di alam al-wujud ini. Ia tidak lagi takut kepada segala kekuatan dan kuasa lain yang palsu. Dia benar-benar merasa tenteram dan senang hati. Ia tidak lagi takut kepada sesiapa dan kepada sesuatu apa kerana ia menyembah Allah yang Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Gagah. Ia tidak lagi bimbang kehilangan sesuatu dan tidak mengharapkan sesuatu pada yang lain dari Allah yang berkuasa menahan dan memberi.

Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kekuatan dan kudrat kuasaNya menghindarkannya dari kezaliman, dari hawa nafsu dan penganiayaan. Allah tidak sama dengan tuhan-tuhan di dalam kepercayaan-kepercayaan paganisme dan jahiliyah yang mempunyai berbagai-bagai keinginan dan kehendak hawa nafsu. Setiap Muslim yang berlindung pada Allah bererti ia telah berlindung pada satu kuasa Yang Maha Kuat, di mana ia boleh meni’mati keadilan, pembelaan dan keamanan.

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Pemberi dan Pengurnia segala ni’mat, Pengampun dosa dan Penerima taubat. Dialah yang menyambut do’a orang yang berada di dalam kesusahan dan menghapuskan kesusahan itu apabila ia memohon kepada-Nya. Oleh itu setiap Muslim yang berada di bawah naungan-Nya merasa aman, tenteram, selamat dan beruntung. Ia diberi rahmat apabila lemah dan diberi keampunan apabila bertaubat.

Demikianlah tanggapan seseorang Muslim terhadap sifat-sifat Allah yang telah diajarkan oleh Islam kepadanya. Ia dapati dalam setiap sifat Allah itu hakikat-hakikat yang mententeramkan hatinya, menenangkan jiwanya dan menjamin perlindungan, rahmat kasihan belas, kekuatan dan keteguhan, kemantapan dan kedamaian.

Demikianlah hati seseorang Muslim dilimpahi kedamaian yang terbit dari kesahihan kepercayaan dan kefahamannya terhadap hubungan yang wujud di antara hamba dan Allah, di antara Allah dan alam buana, di antara alam buana dan manusia. Allah telah menciptakan alam buana ini dengan hikmat yang benar dan Ia telah menciptakan segala makhluk di alam buana ini dengan takdir yang rapi dan kebijaksanaan. Manusia adalah diciptakan dengan sengaja dan tidak akan dibiarkan sia-sia sahaja. Segala suasana dan keadaan alam yang sesuai dengan kewujudannya telah disediakan untuknya. Segala kejadian yang ada di bumi ini telah diciptakan untuk faedah dan kepentingannya. Ia dipandang tinggi di sisi Allah dan dialah khalifah Allah di bumi ini dan Allahlah yang menolongnya dalam melaksanakan tugas khilafah ini. Alam buana di sekelilingnya menjadi sahabat baiknya. Rohnya berpaut dengan roh alam buana apabila kedua-duanya bertawajjuh kepada Allah. Ia diundang menyaksikan pameran Ilahi yang diadakan di langit dan di bumi supaya ia meni’matinya dan bermesra dengannya dengan sepenuh mata dan hati. Ia diseru supaya berhubung mesra dengan segala sesuatu dan segala yang hidup di alam buana yang besar ini, yang penuh dengan sahabat handai yang juga turut diundang untuk menyaksikan pameran itu dan seluruh mereka turut membentuk pameran itu.

Agama yang membuat penganutnya berdiri di hadapan tumbuh- tumbuhan yang kecil dan menyarankan bahawa dia akan mendapat pahala apabila dia menyiram tumbuhan-tumbuhan itu dan berusaha supaya subur dan menghapuskan segala sesuatu yang menghalangi kesuburannya, adalah satu agama yang sungguh indah dan sungguh mulia yang mencurahkan kedamaian di dalam rohnya dan membebaskan rohnya berpeluk dengan alam buana dan berpeluk dengan segala makhluk yang ada, dan menyebarkan suasana aman, mesra, kasih sayang dan damai di sekeliling alam buana.

Kepercayaan kepada hari Akhirat menunaikan peranan asasinya dalam melimpahkan kedamaian keatas jiwa seseorang Mu’min dan alamnya, dan menghapuskan perasaan keluh kesah, bosan dan putus asa. Kira-kira penghabisan tidak dibuat di bumi ini dan balasan yang sempurna juga tidak dibuat di dunia ini. Kira-kira penghabisan akan diadakan di Akhirat, dan keadilan yang mutlak tetap terjamin di dalam kira-kira ini. Oleh sebab itu seseorang Mu’min tidak merasa menyesal terhadap usaha-usaha kebajikan dan terhadap jihadnya demi kepentingan agama Allah andainya usaha dan jihadnya itu tidak berjaya di bumi ini, dan andainya ia tidak pernah mendapat apa-apa balasannya dia tidak merasa gelisah terhadap upah dan ganjaran kerjanya jika upah dan ganjaran itu tidak diberi dengan sempurna di dunia ini mengikut penilaian-penilaian manusia, kerana dia yakin bahawa upah dan ganjaran itu akan disempurnakan kepadanya mengikut neraca pertimbangan Allah. Dia tidak merasa berputus asa dari mendapat keadilan apabila habuan-habuan kebaikan itu dibahagi-bahagikan bertentangan dengan kehendaknya dalam perjalanan hidup yang pendek ini. Keadilan pasti wujud kerana Allah tidak sekali-kali mahu menzalimi hamba-hamba- Nya.

Kepercayaan kepada hari Akhirat juga merupakan tembok yang menghalangkan pertarungan gila-gilaan dan pertentangan yang sengit, di mana nilai-nilai dan kehormatan-kehormatan dipijak-pijak tanpa segan silu, kerana di Akhirat manusia akan mendapat pemberian dan pengurniaan yang cukup dan akan mendapat pampasan terhadap hak-haknya yang terluput di dunia. Kepercayaan yang seperti ini dapat mencurahkan rasa damai di medan perlumbaan dan pertandingan, dan dapat menyalutkan suasana budi bahasa dan bersopan santun ke atas gerak-geri atau tindak-tanduk para peserta dalam perlumbaan dan pertandingan itu. Ia dapat mengurangkan kegelojohan dan kerakusan yang terbit dari perasaan bahawa peluang yang wujud di dalam usia yang pendek ini merupakan satu-satunya peluang yang terbuka kepadanya.

Seseorang Mu’min yang mengetahui bahawa matlamat kewujudan manusia ialah beribadat kepada Allah, iaitu ia diciptakan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, maka kesedaran yang seperti ini tidak syak lagi dapat mengangkatkannya ke puncak yang gemilang, iaitu ia meningkatkan perasaan dan hati nuraninya, meningkatkan kegiatan dan pekerjaannya, membersihkan cara-cara dan alat-alat pekerjaannya, kerana dia mahu berbakti kepada Allah dengan kegiatan dan pekerjaannya. Dia mahu beribadat kepada Allah dengan pendapatan dan perbelanjaannya dan dia mahu mengabdikan dirinya kepada Allah dengan kerja-kerja memerintah dan mentadbir di bumi dan menegakkan agama Allah. Oleh sebab itulah ia tidak seharusnya melakukan pengkhianatan dan penipuan, tidak seharusnya berlagak angkuh dan bertindak sewenang-wenang dan tidak seharusnya menggunakan cara-cara yang kotor dan hina. Begitu juga ia tidak seharusnya bertindak gopoh, memotong-motong jalan dan memayah-mayahkan kerja, kerana ia tetap akan sampai ke matlamat ibadatnya dengan niatnya yang ikhlas dan amalannya yang tekun dalam batas kemampuannya. Semuanya ini akan membuat dirinya tidak lagi dilambung-lambung oleh berbagai-bagai kebimbangan dan tamak haloba, dan tidak lagi dikongkong oleh kegelisahan- kegelisahan di mana-mana peringkat perjalanan hidupnya kerana dia beribadat pada setiap langkah yang dihayuni dan melaksanakan matlamat kewujudannya pada setiap mundar-mandirnya, dan dia mendaki menuju kepada Allah pada setiap kegiatan dan pada setiap bidang.

Seseorang Mu’min yang merasa bahawa dia berjalan dengan takdir Allah dan hidup dengan dengan keta’atan kepada Allah untuk melaksanakan iradat Allah, maka perasaan ini akan mencurahkan rasa ketenteraman, kedamaian dan kemantapan di dalam jiwanya. Dia dapat meneruskan perjalanannya tanpa digugatkan oleh rasa keseksaan dan keluh-kesah, rasa bosan dan marah apabila menghadapi halangan-halangan dan kesulitan, rasa putus harapan dari mendapat pertolongan, rasa takut kesesatan jalan atau rasa takut dari kehilangan balasan dan ganjaran. Oleh sebab itulah dia merasa begitu damai dan aman dalam jiwanya sehingga di saat-saat ia memerangi musuh-musuh Allah dan musuh musuhnya, kerana dia berperang kerana Allah, kerana sabilillah dan kerana meninggikan agama Allah. Dia bukannya berperang kerana mengejar kedudukan dan keuntungan atau kerana memuaskan keinginan atau kerana harta kekayaan dan kesenangan hidup dunia.

Seseorang Mu’min juga merasa bahawa dia berjalan seiringan dengan alam buana mengikut Sunnatullah. Undang-undang yang dipatuhinya ialah undang-undang yang dipatuhi oleh alam buana, dan arah yang ditujuinya ialah arah yang ditujui alam buana. Di sana tidak ada sebarang pertentangan dan permusuhan di antara dia dengan alam buana, tidak ada sebarang pembaziran kerja dan tenaga. Seluruh kekuatan alam buana bergabung dengan kekuatannya dan berpedoman dengan nur hidayat Allah yang menjadi pedomannya, serta sama-sama bertawajjuh kepada Allah yang juga menjadi matlamat tawajjuhnya.

Taklif-taklif yang diwajibkan ke atas setiap Muslim itu adalah taklif- taklif yang sesuai dengan fitrah manusia dan bertujuan untuk membetulkan fitrah itu. Taklif-taklif itu tidak melampaui batas kemampuan manusia dan tidak mengabaikan tabiat dan struktur kejadiannya. Ia tidak mensia-siakan mana-mana tenaga manusia, malah setiap tenaga dibebaskan bekerja, membena dan menyubur. Ia tidak melupakan mana-mana keperluan jasmani dan ruhani manusia malah ia memenuhi setiap keperluannya dengan mudah, toleransi dan mewah. Oleh sebab itu seseorang Mu’min tidak merasa bingung dan keluh kesah dalam melaksanakan taklif-taklif yang diwajibkan ke atasnya. Ia memikul taklif-taklif mengikut keupayaan dan kemampuannya dan meneruskan perjalanannya menuju Allah dengan tenang, tenteram dan aman damai.

Masyarakat yang diwujudkan oleh sistem hidup Rabbani ini dan hidup di bawah naungan peraturan-peraturan yang melahirkan ‘aqidah yang indah ini di samping jaminan-jaminannya terhadap keselamatan jiwa, maruah dan harta benda adalah semuanya memain peranan mengembangkan kedamaian dan menyebarkan semangat keamanan.

Masyarakat yang berkasih sayang, bersatu padu, bertakaful dan seimbang yang telah diwujudkan sekali oleh Islam dengan bentuknya yang paling tinggi dan bersih, kemudian terus mewujudkannya dengan berbagai- bagai bentuk di dalam berbagai-bagai zaman yang berbeza-beza darjah kebersihannya, tetapi pada keseluruhannya ia masih merupakan satu masyarakat yang lebih baik dari segala masyarakat yang lain yang dibentuk oleh jahiliyah dahulu dan sekarang, dan lebih baik dari segala masyarakat yang dicemari oleh jahiliyah dengan kepercayaan-kepercayaan dan peraturan-peraturan keduniaannya.

Masyarakat ini hanya diikat oleh seutas tali hubungan sahaja, iaitu tali hubungan di mana leburnya hubungan-hubungan bangsa dan negara, bahasa dan warna dan segala hubungan sementara yang lain, yang tidak ada hubungan dengan hakikat insan.

Masyarakat ini ialah masyarakat yang mematuhi perintah Allah yang menyarankan:

“Sesungguhnya orang-orang Mu’min itu saudara.” (Surah al-Hujurat:10)

Ia juga sebuah masyarakat yang melihat bentuknya yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

“Bandingan perpaduan orang-orang Mu’min dalam hubungan saling mesra mereka, hubungan saling kasih dan saling simpati mereka sama dengan perpaduan sebuah jasad, jika mana-mana satu anggotanya sakit, maka seluruh jasad akan berjaga dan mengidap demam kerananya.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim)

Masyarakat ini mempunyai peradaban-peradabannya di antaranya ialah:

“Dan apabila kamu diberi ucapan salam maka jawablah ucapan itu dengan ucapan yang lebih baik darinya atau balaskannya dengan ucapan yang sama.” (Surah an-Nisa:86)

“Dan janganlah engkau palingkan pipi engkau dari manusia (kerana takbur) dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak yang angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri.” (Surah Luqman:18)

“Tolakkanlah perbuatan yang jahat itu dengan perbuatan yang lebih baik nescaya orang yang ada perseteruan di antara engkau dan dia akan menjadi baik seolah-olah teman yang amat setia.” (Surah Fussilat:34)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum menghinakan satu kaum yang lain kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghina dan janganlah pula wanita-wanita menghinakan wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang dihinakan itu lebih baik dari wanita-wanita yang menghina. Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu memanggil di antara kamu dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama ialah nama fasik sesudah seseorang itu beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat:11)

“Dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain. Apakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentulah kamu jijikkannya. Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat dan Maha Pengasih.” (Surah al-Hujurat:12)

Masyarakat ini mempunyai jaminan-jaminan di antaranya ialah:

“Wahai orang yang beriman jika seorang yang fasik datang menemui kamu membawa sesuatu berita, maka selidikilah (kebenarannya) kerana dikhuatiri kamu mengenakan tindakan yang buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan dan menyebabkan kamu menyesal terhadap tindakan yang telah dilakukan kamu.” (Surah al-Hujurat:6)

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka kerana setengah setengah prasangka itu berdosa. Dan janganlah kamu mengintip (mencari keaiban orang lain).” (Surah al-Hujurat:12)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah- rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu lebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penghuni-penghuninya.” (Surah an-Nur:27)

dan…….

نﺎﺨﻴﺸﻟاو ﻚﻟﺎﻣ ﻪﺟﺮﺧا

“Setiap Muslim terhadap satu sama lain diharamkan darahnya, kehormatannya dan harta bendanya.”

Masyarakat ini adalah masyarakat yang bersih. Di dalam masyarakat ini kejahatan seks tidak berkembang, kegiatan-kegiatan yang membangkitkan hawa nafsu berahi tidak berleluasa, perbuatan mendedahkan tubuh dan hiasan tidak tersebar, biji-biji mata tidak berkeliaran memandang aurat, nafsu-nafsu keinginan tidak galak menceroboh kehormatan-kehormatan, kegilaan seks dan kerakusan nafsu darah dan daging tidak terlepas bebas seperti di dalam masyarakat-masyarakat jahiliyah dahulu dan sekarang.

Masyarakat ini sentiasa dibimbing oleh berbagai-bagai arahan Rabbaniyah. Ia

sentiasa mematuhi perintah Allah S.W.T. yang berbunyi:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin supaya tersebarnya kejahatan seks yang keji itu di kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan memperolehi azab yang amat pedih di dunia dan di Akhirat. Dan Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nur:19)

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatkanlah setiap orang dan keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi perasaan kasihan belas terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan kepada hari Akhirat. Dan hendaklah penyeksaan keduanya disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nur:2)

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan mohsan (dengan tuduhan berzina) kemudian mereka tidak dapat membawa empat orang saksi, maka sebatkanlah mereka delapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka untuk selama-lamanya dan merekalah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur:4)

“(Wahai Muhammad) katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menahan mata mereka (dari memandang yang haram) dan memelihara anggota kelamin mereka. Itulah cara yang lebih bersih kepada kamu. Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui segala apa yang dibuat oleh kamu.” (Surah an-Nur:30)

“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan mata mereka (dari memandang yang haram) dan memelihara anggota kelamin mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka melainkan mana-mana bahagian yang ternampak darinya sahaja dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan kain kelubung mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak-anak kepada saudara-saudara lelaki mereka atau anak- anak kepada saudara-saudara perempuan mereka atau perempuan- perempuan Islam sesama mereka atau hamba-hamba yang dimilik mereka atau pembantu-pembantu rumah dan lelaki-lelaki yang tidak mempunyai keinginan atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat-aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka (dengan tujuan) supaya diketahui orang apa sahaja perhiasan yang disembunyikan mereka, dan hendaklah kamu sekalian bertaubat kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu mendapat keberuntungan.” (Surah an-Nur:31)

Dalam masyarakat ini isteri-isteri nabi sendiri - selaku isteri yang paling suci yang hidup di rumah yang paling suci dan di zaman yang paling suci - diberi perintah yang sama:

“Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu bersikap tunduk semasa bercakap-cakap (dengan lelaki asing) hingga menimbulkan keinginan orang yang mempunyai penyakit di dalam hatinya dan bercakaplah di dalam perkara yang baik.” (Surah al-Ahzab:32)

“Dan tetaplah di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti pendedahan (wanita-wanita) di zaman jahiliyah dahulu. Dan dirikanlah solat serta keluarkan zakat dan ta’atlah kepada Allah dan Rasul Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara perkara yang boleh mencemarkan dari kamu wahai Ahlil Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Surah al-Ahzab:33)

Di dalam masyarakat yang seperti ini isteri merasa aman terhadap suaminya dan suami merasa aman terhadap isterinya, dan sekalian wali-wali merasa aman terhadap kehormatan-kehormatan dan maruah-maruah mereka, dan seluruh orang merasa aman terhadap saraf dan hati mereka, kerana mata mereka tidak terlihat pemandangan-pemandangan yang menimbulkan nafsu berahi, dan mata mereka tidak menarik hati mereka melakukan perbuatan-perbuatan haram, iaitu melakukan pengkhianatan suami isteri yang bertimbal-balik ketika itu atau hidup dengan keinginan- keinginan nafsu yang tertekan dan menderita penyakit-penyakit jiwa dan kemeranaan saraf. Masyarakat Islam yang bersih dan suci akan terus aman dan tenang di bawah kebebasan sayap-sayap kedamaian, kesucian dan keamanan.

Akhir kata, masyarakat Islam menjamin kerja dan rezeki kepada setiap yang berdaya. Ia menjamin hidup yang baik kepada setiap yang lemah, dan menjamin isteri yang salih kepada setiap orang yang ingin hidup dengan nafsu yang bersih dan terkawal. Ia menganggapkan setiap orang yang hidup di dalam masyarakat sebagai bertanggungjawab dari segi kanun jenayah andainya ada seseorang yang mati kelaparan di dalam kalangan mereka, sehingga ada setengah-setengah ahli perundangan Islam berpendapat supaya mereka dikenakan denda membayar diyah.

Masyarakat Islam menjamin kebebasan dan keselamatan kehormatan, maruah dan harta benda dengan kekuatan undang-undang setelah dijamin dengan perintah-perintah dan arahan-arahan Allah yang pasti dipatuhi. Dalam masyarakat Islam tiada siapa yang boleh dihukum dengan prasangka. Tiada siapa yang boleh memanjat rumahnya kerana mencari rahsia Tiada siapa yang boleh diintip oleh pengintip rahsia. Tiada darah yang tumpah sia- sia selagi ada undang-undang qisas, dan tiada seorang pun yang kehilangan harta kerana dicuri atau dirompak selagi ada undang-undang hudud.

Masyarakat Islam ditegakkan di atas dasar syura, nasihat dan saling membantu di samping ditegakkan di atas dasar persamaan dan keadilan yang tegas, yang membuat seseorang itu merasa haknya terjamin dengan kekuatan syari’at Allah bukannya dengan kehendak pemerintah, kehendak pembesar-pembesar yang berada di sekeliling pemerintah dan kehendak kaum kerabat seorang pembesar.

Akhir kata masyarakat Islam adalah satu-satunya masyarakat di antara seluruh masyarakat manusia yang lain yang membuat manusia tidak tunduk kepada sesama manusia, malah setiap orang, baik pemerintah mahu pun rakyat wajib tunduk kepada Allah dan syariat belaka dan wajib melaksanakan hukum Allah dan syari’at-Nya. Seluruh mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di hadapan Allah Tuhan semesta alam, pemerintah yang paling adil dengan penuh ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.

Semuanya ini merupakan sebahagian dari makna-makna kedamaian yang diisyaratkan ayat ini, iaitu ayat yang menyeru umat manusia supaya memasuki dalam kedamaian agar mereka menyerahkan seluruh jiwa raga mereka kepada Allah, tiada satu pun yang pulang kepada mereka, malah semuanya pulang kepada Allah belaka dengan penuh kepatuhan dan penyerahan. Makna kedamaian ini tidak dapat difahami dengan kefahaman yang sebenar oleh orang yang tidak pernah mengetahui bagaimana hebatnya kebingungan dan kegelisahan itu berleluasa dan berkecamuk di dalam jiwa yang tidak mendapat ketenangan iman, dan berkecamuk di dalam masyarakat-masyarakat yang tidak mengenal Islam atau pernah mengenal Islam kemudian meninggalkannya kerana kembali kepada jahiliyah yang memakai berbagai-bagai nama di sepanjang zaman. Inilah masyarakat- masyarakat yang malang dan berada di dalam kebingungan walaupun ia mempunyai segala sesuatu yang dapat memberikan kemewahan kebendaan, kemajuan ketamadunan dan seluruh nilai-nilai kemajuan mengikut tradisi jahiliyah yang menganut kepercayaan-kepercayaan yang sesat dan berpedomankan neraca-neraca yang rosak.

Cukuplah kepada kita merenungi satu contoh yang telah berlaku di sebuah negeri yang dianggap sebagai sebuah negeri yang paling maju di seluruh dunia, iaitu negeri ‘Sweden’ di mana habuan sabsidi yang diberikan kepada setiap seorang rakyat dan jumlah pendapatan kebangsaan ialah menyamai lima ratus paun setahun, dan di mana setiap orang diberi perlindungan kesihatan dan bantuan-bantuan sakit percuma di samping perubatan-perubatan percuma di hospital-hospital. Ia juga diberi pelajaran percuma di semua peringkat pelajaran di samping disediakan bantuan- bantuan pakaian dan pinjaman-pinjaman kepada pelajar-pelajar yang cemerlang. Kerajaan juga memberi sabsidi perkahwinan kira-kira tiga ratus paun untuk menyiapkan rumahtangga di samping berbagai-bagai kemewahan kebendaan dan ketamadunan yang menarik.

Tetapi apakah yang ada di sebalik kemewahan kebendaan, ketamadunan dan kekosongan hati dari keimanan kepada Allah itu? Umat Sweden merupakan satu umat yang terancam dengan keputusan keturunan. Jumlah kelahiran zuriat di kalangan mereka terus menurun dengan sebab kebebasan pergaulan dan jumlah perceraian yang tinggi, iaitu satu perceraian dalam setiap enam perkahwinan akibat kebebasan hawa nafsu, pendedahan kegiatan seks dan kebebasan percampuran lelaki dan perempuan. Kehidupan generasi barunya menyeleweng. Mereka menagih arak dan dadah untuk menggantikan kekosongan jiwa mereka dari keimanan, dan menggantikan ketenteraman hati mereka yang tidak mempunyai ‘aqidah. Penyakit-penyakit jiwa dan saraf di samping berbagai-bagai perilaku yang ganjil menyerang ribuan jiwa dan saraf. Kemudian kejadian membunuh diri juga lumrah. Keadaan yang seperti ini juga berlaku di Amerika dan ia berlaku lebih buruk lagi di Rusia. Itulah kecelakaan hidup yang telah ditulis di atas setiap hati yang kosong dari kemanisan keimanan dan ketenteraman ‘aqidah. Ia tidak dapat mengecap’ rasa kedamaian yang diseru Allah supaya sekalian orang- orang Mu’min diseru masuk dan hidup di dalamnya untuk meni’mati keamanan naungan kerehatan dan kemantapan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa kamu dan janganlah kamu menurut jejak syaitan-syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata.”(Al-Baqarah 208).

Setelah Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, maka al-Qur’an mengingatkan mereka supaya jangan mengikut langkah-langkah syaitan, kerana di sana hanya terdapat dua haluan sahaja; Sama ada masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa atau mengikut jejak-jejak syaitan, sama ada memilih hidayat atau memilih kesesatan, sama ada mengikut Islam atau mengikut jahiliyah, sama ada menuju jalan Allah atau menuju jalan syaitan, sama ada memilih petunjuk Allah atau memilih penyesatan syaitan. Setiap Muslim harus memahami sikapnya dengan ketegasan yang seperti ini. Ia tidak seharusnya teragak-agak dan termangu-mangu di tengah-tengah berbagai-bagai jalan dan hala tujuan.

Di sana tidak ada banyak sistem hidup yang harus dipilih salah satunya oleh seorang Mu’min, atau mencampurkan salah satunya dengan yang lain. Tidak sekali-kali begitu! Sesiapa yang tidak masuk ke dalam kedamaian dengan semesta jiwanya dan tidak menyerahkan dirinya semata- mata kepada kepimpinan Allah dan syari’at-Nya, sesiapa yang tidak membuang segala kepercayaan yang lain, segala sistem hidup yang lain dari segala undang-undang yang lain, maka bererti dia berada di jalan syaitan dan berjalan mengikut jejak-jejak syaitan.

Di sana tidak ada penyelesaian jalan tengah, di sana tidak ada sistem hidup separuh-separuhan, tidak ada peraturan separuh di sana dan separuh di sini, malah pilihan yang ada di sana hanya salah satu dari dua, iaitu yang hak dan yang batil, hidayat dan kesesatan, Islam dan jahiliyah, sistem Allah atau penyesatan syaitan. Dalam bahagian ayat yang pertama Allah menyeru para Mu’minin supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka dan dalam bahagian ayat yang kedua ia mengingatkan mereka dari mengikut jalan syaitan. Ia menggerakkan hati nurani dan perasaan mereka di samping menimbulkan perasaan takut di dalam hati mereka, iaitu dengan mengingatkan dendam kesumat dan permusuhan syaitan yang ketat terhadap mereka. Permusuhan itu amat jelas dan tiada siapa yang melupakannya melainkan manusia yang lalai dan kelalaian tidak wujud bersama iman.

Kemudian ayat yang berikut mengingatkan kepada mereka akibat kegelinciran setelah mendapat penerangan yang jelas.

“Oleh itu jika kamu tergelincir juga setelah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 209).

Peringatan yang menyebut bahawa Allah “Maha Perkasa” mengisyaratkan kekuatan dan kudrat kuasa Allah dan menyarankan bahawa mereka akan terdedah kepada tindakan kudrat Allah apabila mereka menyalahi perintah-Nya. Sementara peringatan yang menyebut bahawa Allah “Maha Bijaksana” menyarankan bahawa apa yang dipilih oleh Allah untuk mereka itulah yang paling baik dan sesuatu yang dilarangkan Allah itulah yang paling tidak baik, di samping menyarankan bahawa mereka akan menghadapi kerugian jika mereka tidak mematuhi perintah-Nya dan menjauhi laranganNya. Kedua-dua peringatan itu mengandungi ancaman dan amaran di tempat ini.

2 comments:

Anonymous said...

bagus2... cume kalau boleh diringkaskan dan lagi padat maybe boleh menarik minat pembaca lagi... papepon.. good job

nukilanbayangan said...

insyaAllah.. tp khusuk baca x sedar pon panjang.. naip pon x sedar...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...