“ Perjuangan kita adalah  perjuangan yang dimulai oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan akan terus  disambung sampai hari qiamat oleh mu’min yang terakhir di bumi ini. Oleh  kerana itu kita hendaklah kenal bahawa perjuangan kita (perjuangan  Islam) walaupun bilangan kita kecil tetapi sebenarnya kita adalah  merupakan satu kelompok yang besar yang dihantar Allah Subhanhu Wa  Ta’ala ke dunia ini. Kita adalah penyambung mata rantai perjuangan  Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan hanya akan berakhir apabila berakhirnya  dunia ini. Oleh itu, yakinlah kita bahawa tidak ada kekuasaan makhluk di  bumi ini yang boleh menghalang dan menyekat perkembangan dan penerusan  perjuangan Islam.”Wahai aktivis dakwah, prinsip perjuangan yang paling penting adalah meneruskan dakwah perjuangan Rasulullah untuk mencapai keredhaan Allah. Janganlah kita risau jika perjuangan kita ini masih belum mencapai kemenangan kerana kemenangan itu pasti. Sebagai penyambung mata-mata rantai perjuangan, marilah kita sama-sama menghayati erti kemenagan yang sebenar. Kemenangan itu bukanlah dimaksudkan sekadar dengan kemenangan dalam pertempuran di medan, juga bukan sekadar dimaksudkan dengan kemenangan membuka Makkah dan menyatukan seluruh Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam. Juga bukan dimaksudkan sekadar kemenangan menundukkan dua kerajaan yang besar pada masa itu iaitu Rom dan Farsi, tetapi kemenangan yang dimaksudkan ini juga adalah kemenangan yang bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini, merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni dan tetap (thabat) sepanjang zaman.
Sesungguhnya kemenangan Rasulullah s.a.w itu tidak lenyap walaupun kadang-kadang berlaku kelemahan yang mendatang ke atas umat Islam. Nilainya tidak hilang meskipun timbul berbagai aliran baru (dengan nama-nama baru) serta berbagai falsafah moden, cahayanya tidak padam dengan penguasaan satu golongan ke atas golongan yang lain. Ini disebabkan oleh asasnya yang amat kukuh bertapak di alam ini, menjiwai hati manusia dan menjelma dalam berbagai lapangan hidup ini.
Pada hakikatnya kemenangan itu telah membawa bukti-bukti yang nyata tanpa memerlukan bukti-bukti yang lain lagi, cuma apa yang perlu bagi kita ialah mengkaji dan menyelidiki bagi mengetahui faktor-faktor kemenangannya serta jalan yang telah dilalui baginda.
Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t menghendaki kemenangan bagi Nabi Muhammad s.a.w serta menghendaki Agama Islam itu menguasai alam ini sejajar dengan perjuangan baginda yakni "iqamatud diin wasiasatu dunnia bih", menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia dengan Agama. Bagaimanapun Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu mudah sekali, Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’ tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia. Kita lihat di dalam sirah bahawa Allah s.w.t menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda, serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.
Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w, tindakannya, perjalanan hidupnya (sirahnya) serta jihadnya semoga dia dapat memahami bahawa jalan kemenangan/kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud. Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat ia berada, oleh itu hendaklah ia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w.
Terdapat tiga nilai asasi kejayaan Muhammad ibni Abdullah s.a.w:
Pertama:   Kejayaan Peribadi  Baginda Rasulullah s.a.w sendiri   -  ketika mana  orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya ( Abu Talib ) supaya  menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka  telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda  mahukan  hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda  inginkan pangkat  maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang  dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya.   Sesungguhnya  Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk  pendengaran mereka dan  pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi  yang terbit dari keimanan dan keyakinannya,  sumpah berkenaan membawa  maksud :
“Demi Allah !,  sekiranya mereka meletakkan matahari di  tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan  ini (perintah Allah),  maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan  sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku  mati”
Sungguh hebat, Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.
Kedua: Kejayaan Rasulullah s.a.w Membentuk para Sahabat Ridhwanullahialaihim; pengikut setia yang merealisasikan iman mereka dalam gerak kehidupan mereka. Baginda berjaya membentuk/mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.
Sebenarnya nas-nas (ayat-ayat) al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini. Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah: membentuk rijal/pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka, tidak semata-mata berkhutbah sahaja. Baginda membina Ummah bukan membangunkan falsafah.
Adapun  fikrah  (pemikiran) Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka  peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah  tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar.  Apabila rijal  yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan  aktiviti mereka di atas mukabumi ini, maka manusia lain melihat suatu  keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana  keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam  yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum  itu.  Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana  mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang  telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka,  juga barulah  mereka  mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah  dilalui oleh rijal tersebut.
Fikrah Islam sahaja tidak akan  hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia  seluruhnya.  Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya  membentuk atau mendidik  sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang  berfikrah.  Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka  itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda berjaya  mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al  Quran, tetapi  bukanlah dicetak  dengan dakwat atas lembaran-lembaran  kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu  dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia.   Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan  ke tengah-tengah masyarakat  manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan  mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang  menjadi utusan Allah s.w.t itu.
Ketiga: Kejayaan Rasulullah s.a.w ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda.
Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan. Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi, tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.
Kesimpulannya, bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keimanan) dan kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w dan apa yang dibawa oleh baginda (disamping keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t). Ucapan dua kalimah syahadah itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar. Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah (janji setia kita bahawa) Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.
Perlu ada keyakinan bahawa Allah  s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang,  peraturan-peraturan, syar’iat.  SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan  kepadaNya  sahaja perlu diperhambakan.  Perlu meyakini bahawa Nabi  Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan  perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut  arahan-arahan  Allah s.w.t.  Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu  menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini,  pimpinan dan sistem  yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan   menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah s.w.t.  Firman Allah  s.w.t :-“dan tiadalah yang diucapkan itu (al Quran) menurut  kemahuan hawa nafsunya.  Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang  diwahyukan (kepadanya)”
(Surah an Najm : 3-4)
Banyak ayat-ayat al Quran al Karim yang memerintahkan kita dan para Mu’minin agar mematuhi dan mentaati Rasulullah s.a.w , sebagai natijah daripada ikrar ketaatan kita kepada baginda. Antara firman-firman Allah s.w.t :-
“Katakanlah  : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah  mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.  Allah Maha Pengampun lagi Maha  Penyayang.”
(Surah ali ‘Imran : 31)
“Barangsiapa yang  mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.  Dan  barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”
(Surah an  Nisaa’ : 80)
“Apa sahaja harta rampasan (fa-I) yang diberikan  Allah kepada Rasul Nya yang  berasas dari penduduk kota-kota  maka  adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang  miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan  hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.  Apa  yang diberikan  Rasul kepadamu maka terimalah dia.  Dan apa yang  dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah  dan bertaqwalah kepada Allah.   Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman Nya.”
(Surah al Hasyr :  7)
Setiap Mu’min diwajibkan mencintai Rasulullah s.a.w sehingga  baginda pernah bersabda yang maksudnya;
“Tidak sempurna Iman  seseorang kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya,  anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”
Menurut hadith ini ternyata bahawa cinta yang sebenarnya terletak kepada keikhlasan mematuhi apa yang disukai oleh Rasulullah s.a.w dan mematuhi apa yang tidak disukai oleh baginda.
Begitu juga kita, orang Mu’min , diwajibkan menghormati Rasulullah s.a.w seperti yang diisyaratkan olah Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :
“Janganlah kamu  jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu  kepada sebahagian (yang lain).  Sesungguhnya Allah telah mengetahui  orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung  (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah  Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.  “
(Surah  an Nuur : 63)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu  mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah.   Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi  Maha Mengetahui.  Hai  orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari  suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras  sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang  lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak  menyedari.  Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi  Rasulullah ,  mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka  oleh Allah untuk bertaqwa.  Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.    “
(Surah al Hujuraat : 1-3)
Menghormati Rasulullah s.a.w bukan sahaja semasa ada hayat baginda, bahkan selepas wafat baginda juga kita mesti bersopan dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itu dikala mana kita membaca atau mendengar hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kita wajib meyakini hadith atau sunnah tersebut. Kita dikehendaki mendengar dengan cara bersungguh-sungguh, penuh perhatian, penuh kefahaman serta bersedia untuk mengamalkan dan melaksanakannya sepertimana arahan-arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Hendaklah kita menyedari bahawa al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah s.a.w itu mempunyai peranan untuk mengawal, menjaga, memelihara fitrah, kesucian manusia ciptaan Allah s.w.t. Oleh itu kita wajib membimbing dan mendidik fitrah kita supaya tetap dalam keadaan suci dan bersih (Fitrah Salimah). Caranya ialah dididik dan disirami dengan ajaran al Quran al Karim dan dibajai dengan as Sunnah an Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :-
“Sesungguhnya telah ada pada  (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang  yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia  banyak menyebut Allah.”
(Surah al Ahzab : 21)
Akhirul Kalam, kita haruslah kental dalam menyambung mata-mata rantai perjuangan, berjuang lah dengan apa sahaja yang kita miliki. Kita amek contoh ketika Nabi Musa hendak di bakar, burung yang kecil sanggup terbang tinggi ke langit dan mengugurkan air dari paruhnya yang kecil, dan turun lagi mengambil air berulang-ulang kali.. Dan sebagai penyambung mata rantai, ayuhlah kita memperkuatkan diri kita seperti mana zaman sahabat, mereka ibarat Al-quran yang bertebaran di muka bumi ini dengan mencontohi Akhlak dan sunnah Rasulullah.. Walaupun kita rasa diri kita ini lemah, tetapi kita wajib menyambung mata-mata rantai ini dan dalam masa yang sama, menguatkan mata-mata rantai dakwah ini insyaAllah..
Wallahu’alam.
2 comments:
Syukran ustaz siful bahari bin mamat atas taujihad yang cukup memberi impak kepada ana untuk ana nukilkan sebagai renungan kita semua..
kesinambungan hadith related with pejuangan:
“Akan datang manusia di akhir zaman, tiadalah Islam kecuali tinggal nama, ALQuran pula hanya tinggal tulisan, masjid tersergam indah tetapi sunyi dari hidayah, ulama mereka sangat jahat, dan dari mulut mereka menaburkan fitnah kemudian kembali kepada diri mereka”.
Mafhum teks :
1- Islam tinggal nama. pejuangan dn perlaksanaan tiada.
2- AlQuran tinggal tulisan. Tidak dibaca, hanya dipamerkan di premis-premis perniagaan dan rumah sebagai hiasan.
3- Masjid tersergam tetapi tiada jemaah. Orang ramai sembahyang dirumah masing-masing. Lebih malang yang tidak melakukan solat langsung!Bagaimana hendak berjuang sedangkan masjid kita sendiri runtuh!
4- Sebahagian ulama menyebarkan fitnah dan akhirnya kembali kepada diri mereka. menjatuhkan antara stu sama lain sft2 tarbiyah smakin dilupakan.
Adakah kita tidak melaksanakan islam secara total? Adakah kita tdk membaca AlQuran sedangkan beria-ia ki menyatakan ia kitab hidayah? Mengapa kita tidak hadirkan diri ke rumah-rumah Allah sedangkan kita suka sangat mengaku ianya tempat yang mulia dan tenang? Adakah kita terasa hebat lalu suka menyebarkan fitnah? dimana semangat memperjuangakan agama dlm diri? jwpn nya:ade dlm diri kita =]
Mudah-mudahan Allah selamatkan diri kita dan masukkan dalam golongan orang-orang bertaqwa kepadaNya.. Amin..
Post a Comment