Monday, December 12, 2011

TAFSIR SURAH NUR AYAT : 32

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

TAFSIR SURAH NUR AYAT : 32

Tafsir Ibnu Kathir
,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ayat ini mengandungi beberapa hukum-hakam yang 'muhkamah' dan suruhan-suruhan 'mubramah'. Firman Allah Taala : "Dan kahwinkanlah ......." hingga akhirnya merupakan satu perintah supaya mengahwinkan. Sebahagian ulama berpendapat, wajib kahwin bagi setiap yang mampu. Mereka berdalilkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Wahai sekalian pemuda, barangsiapa daripada kalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (perkahwinan) boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa kerana ia (puasa itu) menjadi penawar baginya. - dikeluarkan dalam sahihain daripada hadith ibnu Masood. Terdapat dalam Sunan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : "Kahwinilah (perempuan) beranak banyak, sesungguhnya aku berbangga mempunyai umat yang ramai di hari Qiamat.

"Al-Ayaama" adalah perkataan jama' bagi perkataan "ayyim". Digunakan untuk perempuan yang tidak mempunyai suami atau untuk lelaki yang tidak mempunyai isteri samada ia pernah berkahwin kemudian bercerai atau yang belum berkahwin lagi.

Firman Allah Taala " إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله " "Jika mereka itu miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya." Berdasarkan ayat ini, berkata Ali b. Abi Talhah daripada Ibnu Abbas; Allah Taala menggesa mereka supaya berkahwin dan memerintahkan orang merdeka dan hamba supaya dikahwinkan serta menjanjikan mereka dengan kekayaan. Berkata Ibnu Abi Hatim, Abu Bakar As-siddiq berkata : Taatilah kamu akan Allah pada apa yang Dia arahkan supaya bernikah, kamu akan peroleh kekayaan sebagaimana yang dijanjikan. Daripada Ibnu Masood; Carilah kekayaan dalam pernikahan. Daripada Abu Hurairah R.A. berkata : Sabda Rasulullah S.A.W. : "Tiga hak ke atas Allah menolong mereka; orang yang ingin kahwin yang mahukan memelihara kesucian diri, hamba mukatab yang mahu merdeka dan pejuang di jalan Allah."- diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tarmidzi, An-Nasaaie dan Ibnu Majah. Nabi S.A.W. telah mengahwinkan lelaki itu yang tidak mempunyai apa-apa kecuali kain sebarnya, tidak mampu mengadakan sebentuk cincin besi, meskipun begitu Nabi S.A.W. tetap mengahwinkannya dengan seorang perempuan dan mensyaratkan maharnya ialah mengajarkan perempuan itu Al-Quran.

Tafsir Al-Qurthubi

,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ

Perintah termasuk dalam bab penjagaan (protection) dan kebaikan (as-salaah). Iaitu, Kahwinkanlah orang yang tiada pasangan dari kalangan kamu kerana sesungguhnya ia adalah jalan menjaga kehormatan diri. Perintah ini ditujukan kepada wali-wali (penjaga). Ada yang berkata perintah itu pasangan (suami/isteri). Yang sahih adalah pendapat pertama; kerana kalau ayat itu merujuk kepada pasangan(laki-laki atau perempuan), sudah tentu ia akan berbunyi {وانكحوا} iaitu tanpa hamzah, iaitu alif wasal. Daripada sini diketahui bahawa perempuan tidak boleh bernikah sendirian tanpa wali. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama.

Ulama berselisih dalam perkara ini, Ada tiga pendapat. Berkata ulama kita : berbeza hukum dalam perkara itu disebabkan oleh hal keadaan seseorang mukmin seperti takut berlaku dosa, tidak dapat sabarkan diri serta kekuatannya di atas kesabaran dan hilangnya takut berlaku dosa. Apabila ditakuti berlaku kemusnahan/kerosakan pada agama atau dunia atau pada kedua-duanya sekali maka nikah menjadi wajib. Sekiranya tidak dikhuatiri berlaku apa-apa dan keadaanya bebas, maka berkata Imam Syafie' : Nikah itu harus. Imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Nikah itu mustahabb. Imam Syafie membuat ulasan bahawa nikah itu merasakan keenakan maka ia adalah harus seumpama makan dan minum. Ulama kita pula memberi komentar berdasarkan hadis sahih :

مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

"Barangsiapa yang tidak sukakan sunnahku, maka ia bukan dari golonganku"

"Al-Ayaama minkum" iaitu laki-laki atau perempuan yang tiada pasangan. Mufrad (singular) bagi perkataan ( الْأَيَامَى ) ialah ( الْأَيِّم ). Berkata Abu Amru : ( أَيَامَى ) adalah terbalikan perkataan ( أَيَايِم ). Ahli bahasa (bahasa Arab) bersepakat bahawa ( الْأَيِّم ) pada asalnya bermaksud perempuan yang tiada suami samada perempuan itu dara ataupun janda. Kenyataan ini diceritakan oleh Abu Amru, Al-Kisaaie dan lain-lain.

Maksud firman Allah Taala ( وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ ) iaitu "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu." Kemudian ayat tadi menerangkan hukum mengenai hamba, firmanNya : ( وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادكُمْ وَإِمَائِكُمْ ). Al-Hasan membaca ayat tadi dengan ( وَالصَّالِحِينَ مِنْ عَبِيدكُمْ ), dan perkataan ( وَعَبِيد ) adalah isim (kata nama) bagi jama'nya (plural). Al-Farra' berkata : dan harus ( وَإِمَاءَكُمْ ) dibaca dengan nasab (baris atas), kembali/merujuk kepada perkataan ( الصَّالِحِينَ ) iaitu laki-laki dan perempuan.[iaitu maknanya : kahwinkanlah .....orang-orang soleh... dan kahwinkanlah hamba-hamba kamu). Yang baik (pada perkataan orang yang baik) adalah imannya.

Dikatakan juga bahawa makna ayat itu ialah hendaklah keinginan untuk mengahwinkan hamba itu mestilah hamba-hamba itu orang yang baik, maka harus mengahwinkannya.

إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ayat ini merujuk kepada orang merdeka; maknannya janganlah kamu halang daripada mengahwinkan mereka dengan sebab kemiskinan si lelaki atau si perempuan. ( إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ) ini adalah janji Allah dengan kekayaan kepada orang yang berkahwin yang mencari keredhaan Allah dan memelihara diri daripada maksiat. Berkata Ibnu Masood : Mintalah kekayaan dalam perkahwinan; lalu membaca ayat ini. Berkata Omar R.A. : Aku hairan ada orang yang tidak mencari kekayaan dalam perkahwinan. Firman Allah Taala : ( إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ). Makna ini juga diriwayatkan ini daripada Ibnu Abbas R.A. Daripada hadith Abi Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ( ثَلَاثَة كُلّهمْ حَقّ عَلَى اللَّه عَوْنه الْمُجَاهِد فِي سَبِيل اللَّه وَالنَّاكِح يُرِيد الْعَفَاف وَالْمُكَاتَب يُرِيد الْأَدَاء ) . Maksudnya : "Tiga perkara, setiap mereka itu adalah hak ke atas Allah menolongnya; orang yang berjuang di jalan Allah, orang yang ingin berkahwin yang ingin memelihara kehormatan, dan hamba mukatab yang mahu merdeka." - dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam Sunannya. Dikatakan bahawa : perkataan ( يُغْنِيه ) itu bermaksud memberikannya kaya jiwa (akal budi). Dalam hadith sahih ada disebut ( لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَة الْعَرَض إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى النَّفْس ) maksudnya "Bukanlah kekayaan sebenar itu kekayaan harta benda, tetapi kekayaan sebenar itu ialah kaya jiwa." Dikatakan juga ( يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ) bermaksud Allah memberikan kekayaan daripada limpah kurniaNya jika Dia kehendaki, sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-An'am ayat : 41 ( فَيَكْشِف مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِنْ شَاءَ ) maksudnya "..maka Dia menghilangkan bahaya yang kerananya kamu berdoa kepada-Nya, jika Dia menghendaki." . Firman-Nya lagi dalam surah As-Syuura ayat 12, ( يَبْسُط الرِّزْق لِمَنْ يَشَاء ) maksudnya "Dia melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya.". Dikatakan juga bahawa ayat tadi bermaksud jika mereka itu miskin untuk membolehkannya berkahwin, Allah akan memberikannya kekayaan dengan yang halal supaya ia selamat daripada zina.

Ayat ini menunjukkan suuruhan supaya mengahwinkan orang miskin. Seseorang itu tidak boleh berkata "macamana aku nak kawin sedangkan aku tak berduit" kerana rezekinya itu di tangan Allah. Nabi S.A.W pernah mengahwinkan seorang perempuan yang datang kepada baginda menyerahkan dirinya kepada seorang yang tidak berharta melainkan sehelai kain sebar. Tidak terjadi selepas itu perempuan tadi menuntut fasakh nikah kerana kemiskinan, kerana ia pernah atau biasa susah. Adapun yang sering berlaku demikian (fasakh) ialah apabila seorang perempuan yang sebelumnya hidup senang tiba-tiba hidup susah selepas berkahwin, kerana biasanya rasa lapar membuatkan orang tidak boleh bersabar. Berkata An-Naqqaasy : Ayat ini menjadi hujjah terhadap orang yang berkata : "Sesungguhnya kadi boleh memisahkan di antara suami isteri sekiranya si suami itu miskin yang menyebabkan dia tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya." Ini adalah kerana Allah Taala berfirman "Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka", bukannya "memisahkan antara kedua-duanya". Ini adalah pendapat yang daif. Ayat ini bukanlah hukum pada orang yang tidak mampu memberi nafkah, tetapi ia adalah janji akan diberikan kekayaan bagi orang yang berkahwin orang miskin. Adapun orang yang kahwin orang senang, tetapi menjadi susah selepas daripada itu, maka dibolehkan dipisahkan antara kedua-duanya. Allah Taala berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat : 130 ( وَإِنْ يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّه كُلًّا مِنْ سَعَته ) . Maksudnya : "Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpah kurnia-Nya."

Tafsir Thabari
,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ

( وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادكُمْ وَإِمَائِكُمْ ) Kahwinkanlah (wahai orang-orang yang beriman) orang-orang yang tidak mempunyai pasangan (laki-laki atau perempuan) dari kalangan orang merdeka dan juga orang-orang yang baik dari kalangan hamba-hamba kamu. Perkataan الْأَيَامَى adalah kalimah jama' bagi perkataan أَيِّم . Dijama'kan sebagai أَيَامَى kerana ia memberi makna فَعِيلَة , sebab itulah dijama'kan demikian sebagaimana dijama'kan perkataan الْيَتِيمَة sebagai يَتَامَى . Kalau dijama'kan dengan أَيَائِم juga betul. الْأَيِّم digunakan untuk lelaki dan juga perempuan. Contohnya : رَجُل أَيِّم , وَامْرَأَة أَيِّم وَأَيِّمَة jika masing-masing tidak mempunya isteri atau suami.

إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Maksudnya, jika mereka (hamba-hamba laki-laki dan perempuan) yang kamu kahwinkan mereka itu orang susah dan miskin, maka sesungguhnya Allah akan memberikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya. Maka kemiskinan mereka itu tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada berkahwin.

وَاللَّهُ وَاسِعٌ

Firman Allah ( وَاللَّه وَاسِع ) : Allah itu luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Pemurah, maka kahwinkanlah hamba-hamba kamu, sesungguhnya Allah itu luas (kurnia), Allah akan memberikan kurnia-Nya jika mereka semua miskin.

عَلِيمٌ


Maksudnya Allah mengetahui orang yang miskin dari kalangan mereka dan juga yang kaya. Tidak sunyi sesuatu pun di sisi Allah akan keadaan pengurusan makhluk-Nya.



1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...