Monday, December 12, 2011

TAFSIR SURAH NUR AYAT : 32

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

TAFSIR SURAH NUR AYAT : 32

Tafsir Ibnu Kathir
,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ayat ini mengandungi beberapa hukum-hakam yang 'muhkamah' dan suruhan-suruhan 'mubramah'. Firman Allah Taala : "Dan kahwinkanlah ......." hingga akhirnya merupakan satu perintah supaya mengahwinkan. Sebahagian ulama berpendapat, wajib kahwin bagi setiap yang mampu. Mereka berdalilkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Wahai sekalian pemuda, barangsiapa daripada kalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (perkahwinan) boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa kerana ia (puasa itu) menjadi penawar baginya. - dikeluarkan dalam sahihain daripada hadith ibnu Masood. Terdapat dalam Sunan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : "Kahwinilah (perempuan) beranak banyak, sesungguhnya aku berbangga mempunyai umat yang ramai di hari Qiamat.

"Al-Ayaama" adalah perkataan jama' bagi perkataan "ayyim". Digunakan untuk perempuan yang tidak mempunyai suami atau untuk lelaki yang tidak mempunyai isteri samada ia pernah berkahwin kemudian bercerai atau yang belum berkahwin lagi.

Firman Allah Taala " إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله " "Jika mereka itu miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya." Berdasarkan ayat ini, berkata Ali b. Abi Talhah daripada Ibnu Abbas; Allah Taala menggesa mereka supaya berkahwin dan memerintahkan orang merdeka dan hamba supaya dikahwinkan serta menjanjikan mereka dengan kekayaan. Berkata Ibnu Abi Hatim, Abu Bakar As-siddiq berkata : Taatilah kamu akan Allah pada apa yang Dia arahkan supaya bernikah, kamu akan peroleh kekayaan sebagaimana yang dijanjikan. Daripada Ibnu Masood; Carilah kekayaan dalam pernikahan. Daripada Abu Hurairah R.A. berkata : Sabda Rasulullah S.A.W. : "Tiga hak ke atas Allah menolong mereka; orang yang ingin kahwin yang mahukan memelihara kesucian diri, hamba mukatab yang mahu merdeka dan pejuang di jalan Allah."- diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tarmidzi, An-Nasaaie dan Ibnu Majah. Nabi S.A.W. telah mengahwinkan lelaki itu yang tidak mempunyai apa-apa kecuali kain sebarnya, tidak mampu mengadakan sebentuk cincin besi, meskipun begitu Nabi S.A.W. tetap mengahwinkannya dengan seorang perempuan dan mensyaratkan maharnya ialah mengajarkan perempuan itu Al-Quran.

Tafsir Al-Qurthubi

,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ

Perintah termasuk dalam bab penjagaan (protection) dan kebaikan (as-salaah). Iaitu, Kahwinkanlah orang yang tiada pasangan dari kalangan kamu kerana sesungguhnya ia adalah jalan menjaga kehormatan diri. Perintah ini ditujukan kepada wali-wali (penjaga). Ada yang berkata perintah itu pasangan (suami/isteri). Yang sahih adalah pendapat pertama; kerana kalau ayat itu merujuk kepada pasangan(laki-laki atau perempuan), sudah tentu ia akan berbunyi {وانكحوا} iaitu tanpa hamzah, iaitu alif wasal. Daripada sini diketahui bahawa perempuan tidak boleh bernikah sendirian tanpa wali. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama.

Ulama berselisih dalam perkara ini, Ada tiga pendapat. Berkata ulama kita : berbeza hukum dalam perkara itu disebabkan oleh hal keadaan seseorang mukmin seperti takut berlaku dosa, tidak dapat sabarkan diri serta kekuatannya di atas kesabaran dan hilangnya takut berlaku dosa. Apabila ditakuti berlaku kemusnahan/kerosakan pada agama atau dunia atau pada kedua-duanya sekali maka nikah menjadi wajib. Sekiranya tidak dikhuatiri berlaku apa-apa dan keadaanya bebas, maka berkata Imam Syafie' : Nikah itu harus. Imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Nikah itu mustahabb. Imam Syafie membuat ulasan bahawa nikah itu merasakan keenakan maka ia adalah harus seumpama makan dan minum. Ulama kita pula memberi komentar berdasarkan hadis sahih :

مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

"Barangsiapa yang tidak sukakan sunnahku, maka ia bukan dari golonganku"

"Al-Ayaama minkum" iaitu laki-laki atau perempuan yang tiada pasangan. Mufrad (singular) bagi perkataan ( الْأَيَامَى ) ialah ( الْأَيِّم ). Berkata Abu Amru : ( أَيَامَى ) adalah terbalikan perkataan ( أَيَايِم ). Ahli bahasa (bahasa Arab) bersepakat bahawa ( الْأَيِّم ) pada asalnya bermaksud perempuan yang tiada suami samada perempuan itu dara ataupun janda. Kenyataan ini diceritakan oleh Abu Amru, Al-Kisaaie dan lain-lain.

Maksud firman Allah Taala ( وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ ) iaitu "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu." Kemudian ayat tadi menerangkan hukum mengenai hamba, firmanNya : ( وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادكُمْ وَإِمَائِكُمْ ). Al-Hasan membaca ayat tadi dengan ( وَالصَّالِحِينَ مِنْ عَبِيدكُمْ ), dan perkataan ( وَعَبِيد ) adalah isim (kata nama) bagi jama'nya (plural). Al-Farra' berkata : dan harus ( وَإِمَاءَكُمْ ) dibaca dengan nasab (baris atas), kembali/merujuk kepada perkataan ( الصَّالِحِينَ ) iaitu laki-laki dan perempuan.[iaitu maknanya : kahwinkanlah .....orang-orang soleh... dan kahwinkanlah hamba-hamba kamu). Yang baik (pada perkataan orang yang baik) adalah imannya.

Dikatakan juga bahawa makna ayat itu ialah hendaklah keinginan untuk mengahwinkan hamba itu mestilah hamba-hamba itu orang yang baik, maka harus mengahwinkannya.

إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ayat ini merujuk kepada orang merdeka; maknannya janganlah kamu halang daripada mengahwinkan mereka dengan sebab kemiskinan si lelaki atau si perempuan. ( إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ) ini adalah janji Allah dengan kekayaan kepada orang yang berkahwin yang mencari keredhaan Allah dan memelihara diri daripada maksiat. Berkata Ibnu Masood : Mintalah kekayaan dalam perkahwinan; lalu membaca ayat ini. Berkata Omar R.A. : Aku hairan ada orang yang tidak mencari kekayaan dalam perkahwinan. Firman Allah Taala : ( إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ). Makna ini juga diriwayatkan ini daripada Ibnu Abbas R.A. Daripada hadith Abi Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ( ثَلَاثَة كُلّهمْ حَقّ عَلَى اللَّه عَوْنه الْمُجَاهِد فِي سَبِيل اللَّه وَالنَّاكِح يُرِيد الْعَفَاف وَالْمُكَاتَب يُرِيد الْأَدَاء ) . Maksudnya : "Tiga perkara, setiap mereka itu adalah hak ke atas Allah menolongnya; orang yang berjuang di jalan Allah, orang yang ingin berkahwin yang ingin memelihara kehormatan, dan hamba mukatab yang mahu merdeka." - dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam Sunannya. Dikatakan bahawa : perkataan ( يُغْنِيه ) itu bermaksud memberikannya kaya jiwa (akal budi). Dalam hadith sahih ada disebut ( لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَة الْعَرَض إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى النَّفْس ) maksudnya "Bukanlah kekayaan sebenar itu kekayaan harta benda, tetapi kekayaan sebenar itu ialah kaya jiwa." Dikatakan juga ( يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله ) bermaksud Allah memberikan kekayaan daripada limpah kurniaNya jika Dia kehendaki, sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-An'am ayat : 41 ( فَيَكْشِف مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِنْ شَاءَ ) maksudnya "..maka Dia menghilangkan bahaya yang kerananya kamu berdoa kepada-Nya, jika Dia menghendaki." . Firman-Nya lagi dalam surah As-Syuura ayat 12, ( يَبْسُط الرِّزْق لِمَنْ يَشَاء ) maksudnya "Dia melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya.". Dikatakan juga bahawa ayat tadi bermaksud jika mereka itu miskin untuk membolehkannya berkahwin, Allah akan memberikannya kekayaan dengan yang halal supaya ia selamat daripada zina.

Ayat ini menunjukkan suuruhan supaya mengahwinkan orang miskin. Seseorang itu tidak boleh berkata "macamana aku nak kawin sedangkan aku tak berduit" kerana rezekinya itu di tangan Allah. Nabi S.A.W pernah mengahwinkan seorang perempuan yang datang kepada baginda menyerahkan dirinya kepada seorang yang tidak berharta melainkan sehelai kain sebar. Tidak terjadi selepas itu perempuan tadi menuntut fasakh nikah kerana kemiskinan, kerana ia pernah atau biasa susah. Adapun yang sering berlaku demikian (fasakh) ialah apabila seorang perempuan yang sebelumnya hidup senang tiba-tiba hidup susah selepas berkahwin, kerana biasanya rasa lapar membuatkan orang tidak boleh bersabar. Berkata An-Naqqaasy : Ayat ini menjadi hujjah terhadap orang yang berkata : "Sesungguhnya kadi boleh memisahkan di antara suami isteri sekiranya si suami itu miskin yang menyebabkan dia tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya." Ini adalah kerana Allah Taala berfirman "Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka", bukannya "memisahkan antara kedua-duanya". Ini adalah pendapat yang daif. Ayat ini bukanlah hukum pada orang yang tidak mampu memberi nafkah, tetapi ia adalah janji akan diberikan kekayaan bagi orang yang berkahwin orang miskin. Adapun orang yang kahwin orang senang, tetapi menjadi susah selepas daripada itu, maka dibolehkan dipisahkan antara kedua-duanya. Allah Taala berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat : 130 ( وَإِنْ يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّه كُلًّا مِنْ سَعَته ) . Maksudnya : "Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpah kurnia-Nya."

Tafsir Thabari
,

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ

( وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادكُمْ وَإِمَائِكُمْ ) Kahwinkanlah (wahai orang-orang yang beriman) orang-orang yang tidak mempunyai pasangan (laki-laki atau perempuan) dari kalangan orang merdeka dan juga orang-orang yang baik dari kalangan hamba-hamba kamu. Perkataan الْأَيَامَى adalah kalimah jama' bagi perkataan أَيِّم . Dijama'kan sebagai أَيَامَى kerana ia memberi makna فَعِيلَة , sebab itulah dijama'kan demikian sebagaimana dijama'kan perkataan الْيَتِيمَة sebagai يَتَامَى . Kalau dijama'kan dengan أَيَائِم juga betul. الْأَيِّم digunakan untuk lelaki dan juga perempuan. Contohnya : رَجُل أَيِّم , وَامْرَأَة أَيِّم وَأَيِّمَة jika masing-masing tidak mempunya isteri atau suami.

إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Maksudnya, jika mereka (hamba-hamba laki-laki dan perempuan) yang kamu kahwinkan mereka itu orang susah dan miskin, maka sesungguhnya Allah akan memberikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya. Maka kemiskinan mereka itu tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada berkahwin.

وَاللَّهُ وَاسِعٌ

Firman Allah ( وَاللَّه وَاسِع ) : Allah itu luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Pemurah, maka kahwinkanlah hamba-hamba kamu, sesungguhnya Allah itu luas (kurnia), Allah akan memberikan kurnia-Nya jika mereka semua miskin.

عَلِيمٌ


Maksudnya Allah mengetahui orang yang miskin dari kalangan mereka dan juga yang kaya. Tidak sunyi sesuatu pun di sisi Allah akan keadaan pengurusan makhluk-Nya.



Dalil-dalil mengenai Rezeki dari Al-Quran dan Hadith

Panduan dari Al-Quran

“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” Surah at-Thalaq : ayat 3

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” Surah Ibrahim : ayat 7

“Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan.” Surah Al-A’raf : ayat 96

“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa.” Surah Thahaa : ayat 132

“(Nabi Hud berkata: wahai kaumku, minta ampun kepada tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya, nescaya ia akan menghantar kepada kamu air hujan yang lebat dan menambahkan kekuatan kamu, dan jangan kamu kembali menjadi orang-orang yang berdosa.” Surah Huud : ayat 52

“dan nikahkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba lelaki dan hamba perempuan kamu. Dan jika mereka orang-orang yang fakir nescaya Allah akan menjadikan mereka kaya, dan Allah sangat luas dan sangat mengetahui.” Surah An-Nur : ayat 32

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”. Surah Saba’ : ayat 39

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Baqarah : ayat 268

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi, orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” Surah Al -Baqarah : ayat 273

“dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperolehi (balasan) yang lebih banyak.” Surah Al Muddatsir : ayat 6

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak……. ” Surah An Nisaa’ : ayat 100

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik”. Surah al-Baqarah : ayat 168

Panduan dari Hadith

Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)

“Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.” (Riwayat AnNasaie, sahih)

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

“Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

“Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

“Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

“Nikahilah perempuan kerana mereka akan membawa harta kepada kamu.” (riwayat Bazzar, Daruqutni dan Hakim, hadis hasan)

“Adakah kamu suka hatimu menjadi lembut, dan kamu memperolehi hajat keperluanmu? Kasihanilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berikanlah dia daripada makananmu, nescaya lembutlah hatimu dan kamu akan memperolehi hajatmu.” (Riwayat Tabrani)

“Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan-amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

“Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Riwayat Tabrani)

“Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” (Tabrani, Ibnu Adi)

“Sesungguhnya tidur pada waktu pagi menghalang sebahagian rezeki” Abu Nuaim.

“Ikutlah antara haji dan umrah kerana di dalam mengikuti antara keduanya menambah panjang umur dan menambah rezeki” (Ahmad, Ibnu Majah, Daruqutni, Tabrani)

Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...