Wednesday, May 19, 2010

Batin ku menjerit namun tiada suara..

Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah Allah masih lagi memberi kemampuan untuk menggerakkan jari jemari untuk menaip secoret nukilan..

Dewasa ini, kajian tasawuf mengalami perkembangan yang cukup signifikan. Perlahan tapi pasti, tasawuf mulai diterima. Dan bukan menjadi sesuatu hal yang kontroversial bagi sebagian umat Islam seperti beberapa abad silam, ketika para sufi banyak yang dianggap menyimpang. Fenomena seperti ini mengindikasikan cara keberagamaan masyarakat yang beralih ke cara sufistik.

Tasawuf sebagai segi batin agama — sementara segi lahirnya disebut syari’ah — adalah bidang ilmu keislaman yang bisa dibagi dalam tiga bagian: tasawuf akhlaqi, tasawuf amali dan tasawuf falsafi. Tasawuf akhlaqi ialah ajaran akhlak dalam kehidupan sehari-hari guna memperoleh kebahagiaan yang optimal. Tasawuf akhlaqi meliputi tahalli (penyucian diri dari sifat-sifat tercela, menghiasi dan membiasakan diri dengan sikap terpuji) dan tajalli, yaitu tersingkapnya Nur Ilahi.

Tasawuf amali ialah tuntunan praktis cara mendekatkan diri kepada Allah, yang identik dengan tarekat. Mereka yang masuk tarekat akan memperoleh bimbingan praktik atau amaliah bertasawuf. Sementara tasawuf falsafi ialah kajian secara mendalam dengan tinjauan filosofis dari segala aspek. Dalam tasawuf falsafi dipadukan visi intuitif tasawuf dan visi rasional filsafat.

Ajaran ketiga jenis tasawuf itu bermuara pada penghayatan terhadap ibadah murni (mahdhah) untuk mewujudkan al-akhlaq al-karimah (budi pekerti luhur), baik secara individual maupun sosial. Dengan demikian, tasawuf menjanjikan penyelamatan di tengah berbagai krisis kehidupan yang serba materialistism, hedonism, pragmatism, sekularisme, serta kehidupan yang semakin sulit secara ekonomi mahupun psikologi.

Kesimpulannya tasawuf merupakan alternatif untuk memenuhi dahaga rohani dan mengatasi krisis kerohanian manusia modern, sehingga tidak mengenal jati diri, erti dan tujuan kehidupan. Maka, “mata air” tasawuf yang sejuk mampu menyegarkan dan menyelamatkan manusia yang (merasa) terasing.

Ada yang berpendapat tasawuf adalah salah satu cara untuk melarikan diri (eskapisme) dari kesulitan menghadapi kehidupan. Tasawuf merupakan keniscayaan seorang hamba Allah SWT. Sesungguhnyalah, kehidupan di dunia ada sebagai rumah sekaligus perkuburan manusia.

Tasawuf menjanjikan pengalaman keruhanian manusia yang rindu untuk selalu dekat pada Allah dan bersama dengan Allah SWT. Pengalaman mukasyafah (tersingkapnya jarak antara manusia dan Allah SWT), tidak akan terjadi selama manusia masih dibungkus oleh pakaian duniawi. Karena Allah SWT bersifat rohani, maka untuk bertemu dengan-Nya manusia haruslah berpakaian rohani, yang disebut zuhud.

Wallahu a'lam.

Friday, May 7, 2010

Kita adalah Penyambung Mata Rantai Aktivis Dakwah.

“ Perjuangan kita adalah perjuangan yang dimulai oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan akan terus disambung sampai hari qiamat oleh mu’min yang terakhir di bumi ini. Oleh kerana itu kita hendaklah kenal bahawa perjuangan kita (perjuangan Islam) walaupun bilangan kita kecil tetapi sebenarnya kita adalah merupakan satu kelompok yang besar yang dihantar Allah Subhanhu Wa Ta’ala ke dunia ini. Kita adalah penyambung mata rantai perjuangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan hanya akan berakhir apabila berakhirnya dunia ini. Oleh itu, yakinlah kita bahawa tidak ada kekuasaan makhluk di bumi ini yang boleh menghalang dan menyekat perkembangan dan penerusan perjuangan Islam.”

~Almarhum Tuan Guru Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor~

Wahai aktivis dakwah, prinsip perjuangan yang paling penting adalah meneruskan dakwah perjuangan Rasulullah untuk mencapai keredhaan Allah. Janganlah kita risau jika perjuangan kita ini masih belum mencapai kemenangan kerana kemenangan itu pasti. Sebagai penyambung mata-mata rantai perjuangan, marilah kita sama-sama menghayati erti kemenagan yang sebenar. K
emenangan itu bukanlah dimaksudkan sekadar dengan kemenangan dalam pertempuran di medan, juga bukan sekadar dimaksudkan dengan kemenangan membuka Makkah dan menyatukan seluruh Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam. Juga bukan dimaksudkan sekadar kemenangan menundukkan dua kerajaan yang besar pada masa itu iaitu Rom dan Farsi, tetapi kemenangan yang dimaksudkan ini juga adalah kemenangan yang bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini, merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni dan tetap (thabat) sepanjang zaman.

Sesungguhnya kemenangan Rasulullah s.a.w itu tidak lenyap walaupun kadang-kadang berlaku kelemahan yang mendatang ke atas umat Islam. Nilainya tidak hilang meskipun timbul berbagai aliran baru (dengan nama-nama baru) serta berbagai falsafah moden, cahayanya tidak padam dengan penguasaan satu golongan ke atas golongan yang lain. Ini disebabkan oleh asasnya yang amat kukuh bertapak di alam ini, menjiwai hati manusia dan menjelma dalam berbagai lapangan hidup ini.

Pada hakikatnya kemenangan itu telah membawa bukti-bukti yang nyata tanpa memerlukan bukti-bukti yang lain lagi, cuma apa yang perlu bagi kita ialah mengkaji dan menyelidiki bagi mengetahui faktor-faktor kemenangannya serta jalan yang telah dilalui baginda.

Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t menghendaki kemenangan bagi Nabi Muhammad s.a.w serta menghendaki Agama Islam itu menguasai alam ini sejajar dengan perjuangan baginda yakni "iqamatud diin wasiasatu dunnia bih", menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia dengan Agama. Bagaimanapun Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu mudah sekali, Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’ tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia. Kita lihat di dalam sirah bahawa Allah s.w.t menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda, serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.

Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w, tindakannya, perjalanan hidupnya (sirahnya) serta jihadnya semoga dia dapat memahami bahawa jalan kemenangan/kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud. Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat ia berada, oleh itu hendaklah ia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w.

Terdapat tiga nilai asasi kejayaan Muhammad ibni Abdullah s.a.w:

Pertama: Kejayaan Peribadi Baginda Rasulullah s.a.w sendiri - ketika mana orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya ( Abu Talib ) supaya menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda mahukan hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk pendengaran mereka dan pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi yang terbit dari keimanan dan keyakinannya, sumpah berkenaan membawa maksud :
“Demi Allah !, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah), maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku mati”

Sungguh hebat, Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.

Kedua: Kejayaan Rasulullah s.a.w Membentuk para Sahabat Ridhwanullahialaihim; pengikut setia yang merealisasikan iman mereka dalam gerak kehidupan mereka. Baginda berjaya membentuk/mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.

Sebenarnya nas-nas (ayat-ayat) al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini. Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah: membentuk rijal/pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka, tidak semata-mata berkhutbah sahaja. Baginda membina Ummah bukan membangunkan falsafah.

Adapun fikrah (pemikiran) Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar. Apabila rijal yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan aktiviti mereka di atas mukabumi ini, maka manusia lain melihat suatu keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum itu. Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka, juga barulah mereka mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah dilalui oleh rijal tersebut.

Fikrah Islam sahaja tidak akan hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia seluruhnya. Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya membentuk atau mendidik sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang berfikrah. Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda berjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al Quran, tetapi bukanlah dicetak dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia. Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan ke tengah-tengah masyarakat manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah s.w.t itu.

Ketiga: Kejayaan Rasulullah s.a.w ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda.

Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan. Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi, tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.

Kesimpulannya, bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keimanan) dan kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w dan apa yang dibawa oleh baginda (disamping keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t). Ucapan dua kalimah syahadah itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar. Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah (janji setia kita bahawa) Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.

Perlu ada keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang, peraturan-peraturan, syar’iat. SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan kepadaNya sahaja perlu diperhambakan. Perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut arahan-arahan Allah s.w.t. Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :-“dan tiadalah yang diucapkan itu (al Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”
(Surah an Najm : 3-4)

Banyak ayat-ayat al Quran al Karim yang memerintahkan kita dan para Mu’minin agar mematuhi dan mentaati Rasulullah s.a.w , sebagai natijah daripada ikrar ketaatan kita kepada baginda. Antara firman-firman Allah s.w.t :-

“Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah ali ‘Imran : 31)

“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”
(Surah an Nisaa’ : 80)

“Apa sahaja harta rampasan (fa-I) yang diberikan Allah kepada Rasul Nya yang berasas dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman Nya.”
(Surah al Hasyr : 7)

Setiap Mu’min diwajibkan mencintai Rasulullah s.a.w sehingga baginda pernah bersabda yang maksudnya;
“Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”

Menurut hadith ini ternyata bahawa cinta yang sebenarnya terletak kepada keikhlasan mematuhi apa yang disukai oleh Rasulullah s.a.w dan mematuhi apa yang tidak disukai oleh baginda.

Begitu juga kita, orang Mu’min , diwajibkan menghormati Rasulullah s.a.w seperti yang diisyaratkan olah Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :

“Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. “
(Surah an Nuur : 63)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah , mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar. “
(Surah al Hujuraat : 1-3)

Menghormati Rasulullah s.a.w bukan sahaja semasa ada hayat baginda, bahkan selepas wafat baginda juga kita mesti bersopan dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itu dikala mana kita membaca atau mendengar hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kita wajib meyakini hadith atau sunnah tersebut. Kita dikehendaki mendengar dengan cara bersungguh-sungguh, penuh perhatian, penuh kefahaman serta bersedia untuk mengamalkan dan melaksanakannya sepertimana arahan-arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Hendaklah kita menyedari bahawa al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah s.a.w itu mempunyai peranan untuk mengawal, menjaga, memelihara fitrah, kesucian manusia ciptaan Allah s.w.t. Oleh itu kita wajib membimbing dan mendidik fitrah kita supaya tetap dalam keadaan suci dan bersih (Fitrah Salimah). Caranya ialah dididik dan disirami dengan ajaran al Quran al Karim dan dibajai dengan as Sunnah an Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :-

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Surah al Ahzab : 21)

Akhirul Kalam, kita haruslah kental dalam menyambung mata-mata rantai perjuangan, berjuang lah dengan apa sahaja yang kita miliki. Kita amek contoh ketika Nabi Musa hendak di bakar, burung yang kecil sanggup terbang tinggi ke langit dan mengugurkan air dari paruhnya yang kecil, dan turun lagi mengambil air berulang-ulang kali.. Dan sebagai penyambung mata rantai, ayuhlah kita memperkuatkan diri kita seperti mana zaman sahabat, mereka ibarat Al-quran yang bertebaran di muka bumi ini dengan mencontohi Akhlak dan sunnah Rasulullah.. Walaupun kita rasa diri kita ini lemah, tetapi kita wajib menyambung mata-mata rantai ini dan dalam masa yang sama, menguatkan mata-mata rantai dakwah ini insyaAllah..

Wallahu’alam.

Wednesday, May 5, 2010

Muraqabah Perjuangan Pendakwah Untuk Tingkatkan Pengabdian..

Alhamdulillah, topik pembacaan Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali berkenaan Muraqabatullah sungguh menyentuh hati yang sedang resah dan gundah gulana. Ia memberi jawapan kepada ke mana hilangnya kemanisan dalam melaksanakan taklifan yang di berikan dan ke mana hilangnya ghairah untuk beribadat kepada Allah serta ke mana hilang suntikan semangat perubahan.. Maha suci Allah yang membuka pintu-pintu hati untuk menerima ilmuNya..

Muraqabah bermaksud mengkoreksi diri, dalam erti kata yang lain menjaga kesopanan diri terhadap Allah serta menyerahkan segala maksud dan tujuan kepadaNya. Muraqabah menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam perkara syubhah, penyelewengan dan menurut hawa nafsu. Dengan bermuraqabah juga kita akan selalu mengingati Allah kerana Dia lebih dikasihi daripada segalanya. Surah al-Ahzab ayat 52 bermaksud;

“Dan adalah Allah amat meneliti segala sesuatu”.

Antara nilai akhlak mulia yang dihasilkan kesan muraqabah ialah berkeyakinan, ghairah dalam beribadat, mudah menerima pengajaran dan teguran, merancang program yang berfaedah, bersedia memberi khidmat, berpengetahuan luas, mampu memberi sesuatu yang diharapkan, berbudi bahasa dan mudah mesra.

Bagi memastikan diri kita sentiasa bermuraqabah pastikan bahawa hubungan kita rapat dengan Allah serta badan, jiwa dan rohani kita sihat, punyai pendengaran yang tajam, kemahuan yang kuat, kefahaman yang betul, ada usaha yang praktikal serta sentiasa bertaubat dan memelihara hukum Allah.

Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika engkau mengembara, apakah engkau membuat persiapan wahai Abu Zar?”

Jawab Abu Zar “Ya”.

Baginda bertanya lagi, “Bagaimanakah pula dengan pengembaraan menuju hari kiamat? Mahukah engkau mendengar jika aku memberitahumu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?”

Jawab Abu Zar, “Bahkan saya mahu ya Rasulullah, demi ayah dan ibuku,”

Sabda baginda, “Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan, tunaikanlah solat sunat dua rakaat di tengah gelap malam demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur, tunaikan ibadat haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar, hulurkan sedekahmu untuk si miskin, ungkapkanlah kalimah yang benar dan berdiam diri dari kalimah yang tercela dan buruk.”

Rasulullah SAW juga pernah bersabda;

"Beribadahlah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, Maka jikalau engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat engkau..

Dikisahkan dalam sebuah coretan sirah, Seorang syeikh (mursyid) mempunyai ramai anak murid, dan ia pula lebih menyukai salah seorang dari muridnya malah memberi perhatian yang lebih kepada murid tersebut berbanding dari murid-muridnya yang lain.

Ketika ditanyai kepadanya (mursyid tersebut) akan hal itu, maka ia menjawab, “Aku akan tunjukkan mengapa aku bersikap demikian terhadapnya.” Lalu ia mengumpulkan murid-muridnya dan diberikan kepada setiap orang dari muridnya itu seekor burung dan memerintahkan kepada mereka, “Sembelihlah burung-burung itu disuatu tempat dimana tiada sesiapapun yang dapat melihatnya!”.

Maka sekalian murid-muridnya pun beredar untuk melaksanakan arahan syeikh tersebut. Dan kemudian masing-masing kembali kepada syeikh dengan burung sembelihannya kecuali murid kesayangan syeikh, dimana ia kembali dengan membawa burung dalam keadaan hidup. Maka syeikh pun bertanya padanya, “Mengapa engkau tidak menyembelihnya?”. Murid itu menjawab, “Tuan guru memerintahkan saya untuk menyembelih burung ini di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapapun dan saya tidak menemui akan tempat seperti itu. (maksudnya: Murid itu tidak dapat mencari suatu tempat pun yang sunyi dari tilikan/pengelihatan Allah swt yang Maha Melihat).

Mendengar akan jawaban dari muridnya itu, lalu syeikh pun berkata kepada murid-murid yang lain, “Inilah sebabnya mengapa aku memberi perhatian kepadanya”.

Kesimpulanya, dalam kita berjuang di Medan perang, jangan kita lalai untuk muraqabatillah dan jangan pula kita muraqabah kepada manusia. Hati kita ini perlu di didik dengan tasawwuf sebagai pemangkin dalam perjuangan yang penuh dengan onak liku supaya kita tidak mudah putus harapan, senantiasa istiqaman serta optimis dalam perjuangan. Semoga semua thabat dalam berjuang... InsyaAllah.

Saturday, May 1, 2010

Kejadian Sebenar diceritakan Saksi: Di Sebalik Kejadian Remaja Ditembak Polis


Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis. Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali masyarakat tempatan.

Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun. Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asr telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan. Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.

Saya kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan. Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.

Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, “dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan ‘stay low profile’. Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka. Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi “seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”

Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ. Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan. Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.

Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas. Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.
Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :-

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.
2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.
3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya. Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Wajah arwah Amirul Rashid..

Lampiran Laporan Polis yang dibuat oleh sahabat Arwah..

Suasana sayu dengan apa yang menimpa keluarga mangsa..

Monday, April 26, 2010

Aku meLAYU

Aku meLAYU,
semakin lama aku dalam perjuangan,
semakin layu cintaku pada perjuangan,
semakin mekar aku dengan kelalaian..

Aku meLAYU,
semakin bertambah taklifan diberikan,
semakin layu harapan pada Tuhan,
semakin mekar aku dengan kealpaan..

Aku meLAYU,
semakin tinggi pangkat kedudukan,
semakin layu sifat kehambaan,
semakin mekar sifat ketuanan..

Aku meLAYU,
semakin banyak nikmat dikurniakan,
semakin layu tahap kesyukuran,
semakin mekar aku dengan kekufuran..

Aku meLAYU,
semakin dekat dengan kemenangan,
semakin layu hubungan dengan tuhan,
semakin mekar dengan godaan syaitan..

Aku meLAYU,
semakin berada diakhir zaman,
semakin layu tahap keimanan,
semakin mekar dengan kejahilan..

Aku meLAYU,
semakin berkembang arus permodenan,
semakin layu dengan ketaqwaan,
semakin mekar dengan kemaksiatan..

Aku meLAYU,
semakin pesat dengan pembangunan,
semakin layu ke rumah tuhan,
semakin mekar ke lembah kemaksiatan..

Aku meLAYU,
semakin bertambah kekayaan kewangan,
semakin layu dari keadilan,
semakin mekar dengan penipuan..

Aku meLAYU,
semakin dekat saat kematian,
semakin layu tahajjud di tengah malam,
semakin mekar lena yang mengasyikan..

Aku meLAYU,
semakin banyak tugasan disempurnakan,
semakin layu sifat ketawaddukan,
semakin mekar dengan kebanggaan..

namum Aku tetap MELAYU..
MELAYU bangsaku..
Aku bangga menjadi MELAYU...
menjadi MELAYU yang tidak meLAYU..
MELAYU yang kenal TUHAN yang satu..
bangkitlah wahai BANGSAku..
kembalilah kepada AGAMA mu..
AGAMA yang akan membantu..
untuk AKHIRAT yang tiada menentu..
semoga di SYURGA kita bertemu..
insyaALLAH..

Saturday, April 24, 2010

Ayuh Sahabat Bersemangat Kembali..

Salam Suntikan Catalyst Perjuangan..

Adakah kita sering melewatkan solat daripada waktunya? Adakah kita masa untuk solat berjemaah di masjid? Adakah kita jarang membaca Al-Qur'an? Adakah kita merasa tidak bersemangat dalam dakwah Islam? Jika jawapan kita "YA" kemungkinan kita sedang mengidap sindrom futur.

Sebagai orang yang bermazhabkan Iman As-Syafie, kita beriman Iman itu ada naik dan turunnya, mungkin inilah yang menyebabkan seringkali kita mengalami saat-saat dimana kita merasa lesu, merasa tidak layak, merasa tidak berguna, merasa tidak bersemangat. Adakalanya pula kita merasa sangat semangat dan bahagia, dan mampu melaksanakan tugas dengan sempurna. Betul keimanan memang naik turun, tetapi trend nya harus dijaga agar jatuh akan cepat naik dan terus naik. Bila jatuh lagi masih lagi di tahap tinggi. Futur adalah penyakit yang memang pasti akan menyerang seseorang yang tinggi tahap keimanannya, bukan untuk menjatuhkannya, tetapi untuk memperkuatkan dan membawa keimanannya ke tahap yang lebih tinggi.

Pertanyaannya adalah, bagaimana jika kita berada dalam keadaan futur, lalu ingin menaikkan tingkat keimanan kita kembali supaya kita menjadi bergairah kembali di dalam keislaman dan dakwah kita? setidaknya ada beberapa hal yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan keimanan kita.

1. Salah satu penyebab dominan futurnya seseorang dalam perjuangan Islam adalah kerana dia tidak benar-benar memahami dan menyadari tujuan perjuangannya. Seseorang yang mengetahui dengan jelas tujuannya dan kepentingannya pasti akan selalu bersemangat dalam meraih apa yang menjadi tujuannya. Berbeza dengan seseorang yang hanya ikut-ikutan tanpa mengetahui jelas tujuan apa yang akan dia wujudkan, maka orang seperti ini pasti akan mudah mengalami futur. Oleh karena itu, kita benar-benar harus menggambarkan dengan jelas tujuan perjuangan kita, memahami kepentingannya dengan bersungguh-sungguh, insya Allah semangat kita pun akan mengalir sepertimana mengalirnya air terjun dari punca bukit dan tetap terus mengalir walau di halangi batu-batu yang dengki. Contoh, seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak tidak akan futur dalam bekerja apabila dia sedar dan faham bahwa perjuangan kerja itu adalah yang akan menjamin isteri dan anak-anaknya tetap terus hidup dan meraih cita-cita mereka. Maka sayangnya dan cintanya serta kasihnya kepada anak dan isterinya menjadi catalyst kepadanya untuk bekerja keras, siang-malam kerana dia mengetahui secara pasti tujuan perjuangan kerjanya.

2. Baca al-Qur’an dan as-Sunnah serta terjemahannya, apa saja ayat, yang penting kita memahami isinya, bila perlu bukalah tafsirnya. Qalbu yang tidak diisi dengan al-Qur’an laksana rumah yang kosong dan usang, maka bacalah al-Qur’an dan fahami maknanya. Banyak ayat-ayat yg dapat mengembalikan semangat kita untuk kita tadabbur dengannya, contohnya membaca surat an-Nuur ayat 55, at-Taubah ayat 111 dan as-Saff ayat 10-11.

3. Bacalah sirah nabawiyah ataupun hayatu shahabat dan kisah-kisah para pejuang-pejuang di dalam Islam. Imaginkan dalam fikiran kita bagaimana mereka berjuang dengan seluruh harta bahkan nyawa mereka hanya untuk kemuliaan Allah dan rasul-Nya. Setelah membaca, cuba kita adakan monolog dalaman dan perenungan qalbu. Cubalah bandingkan pengorbanan mereka dan izzah mereka sebagai seorang muslim. Bahawa mereka menginginkan surga yang sama seperti yang kita inginkan, dan ternyata perjuangan kita tidak dapat dibandingkan dengan perjuanganmereka, padahal keinginannya sama-sama surga.

4. Kunjungi dan mintalah nasihat kepada orang-orang yang kita thiqah dan mampu untuk memberikan semangat dan nasihat kepada kita. Jiwa selalu perlu re-charge, kunjungilah dan mintalah nasihat pada mereka yang punya tegangan cukup untuk men-charge kita. Selain itu kita juga dapat mengunjungi kajian-kajian Islam dan acara-acara Islam lainnya yang juga dapat kita manfaatkan untuk meningkatkan lagi keimanan kita.

5. Bila keadaan memaksa, ambillah waktu sejenak untuk beristirahat dan menenangkan diri. Tidak perlu waktu khusus untuk beristirehat, karena perjuangan Islam tidak mengenal cuti. Tetapi mampu dilaksanakan dengan hal yang sederhana, misalnya dengan melakukan hal yang kita sukai dirumah atau bertafakkur alam. Setelah fikiran kita kembali tenang, maka buatlah resolusi kita dengan menuliskan apa yang kita inginkan sebagai perubahan.

6. Bila semua cara diatas tidak membantu. Ada cara terakhir yang boleh dilakukan: Secara paksakan sahaja!. Kadang-kadang kita perlu menjerumuskan diri kedalam lubang kebaikan. Tidak ada cara lain yang lebih bagus daripada cara “paksakan saja”, ketika kita sedang futur. Just-do-it, itu kuncinya. Bila sedang malas solatt berjamaah maka paksakan saja, bila malas berdakwah, maka paksakan dengan cara minta amanah untuk dikerjakan. Jerumuskan diri kita pada tempat yang kitaa terpaksa harus berbuat baik. Karena paksaan awalnya memang terkadang perlu sebelum kita larut dan merasai nikmat dan kemanisan dengan perjuangan itu.

Kesimpulan, renungilah Al wajibat aktharu min al auqaat... Kewajipan itu lagi banyak daripada masa yang kita ada.. Jadi para sahabat, ayuh kembalikan semangat mu, tanamkan kembali roh perjuangan mu, nyalakan kembali api kemaraan mu, laungkan kembali takbir kebesaran mu..

TAKBIR!!!!!!!!!!!! 3x

p/s: semoga kita semua sentiasa berada di bawah jagaan Allah walau di mana jua kita berada.. InsyaAllah, yakin la dengan kemenangan yang dekat dan pertolongan dari Allah..

Wallahu a'lam..

Thursday, April 22, 2010

HAKIKAT AKHLAK: JANGAN MERASA DIRI LEBIH MULIA DARI ORANG LAIN


"Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya."

Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa. Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara. Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai, rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan, pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan, rasa tidak apa-apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa akan masuk Syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa ketuanan.

Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, rasa dhoif, rasa jahil, rasa tidak mampu, rasa bergantung harap dengan Tuhan dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa kehambaan.

Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang dan malam. Sembahyang pun tidak.

Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, tetapi dia sangat dihormati dan disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku atau kitab-kitab yang ditulisnya.

Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan realiti sebenar orang yang berkenaan. Apa yang dirasakan tidak semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan dan amalan lahir orang tersebut.

Orang yang merasakan dirinya baik mungkin jahat dan orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan yang merasakan dirinya bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas.

Jadi yang perlu kita fahami ialah:

1. Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa batin atau dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau dalam hidupnya dia jahat.

2. Siapa yang merasakan dirinya tidak berdosa dia sudah melakukan dosa, kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau dia memang membuat dosa.

3. Siapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga satu dosa.

4. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan merasakan diri ikhlas itu satu sifat mazmumah. Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ketuanan yang bersarang di hati seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak berdosa, tidak bersalah, tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh mendatangkan dosa.

Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa ini menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan. Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah melakukan syirik khafii (syirik kecil) kerana mahu berkongsi sifat dengan sifat-sifat kemuliaan Tuhan.

Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita.

Justeru itu, buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elaklah dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan, tetapi rasakanlah yang kita ini jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.

Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa yang kita rasakan di hati itu lain pula.

Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.

Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang-jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...